Kumpulan Pamor Sempana USM dinobat sebagai juara Pesantun Peringkat Negeri Pulau Pinang 2026, malam tadi.

Pesantun kembali semarakkan seni pantun di P. Pinang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

GEORGE TOWN – Pulau Pinang terus menghidupkan seni pantun menerusi Pertandingan Pesta Pantun (Pesantun) Peringkat Negeri Pulau Pinang 2026 dengan menghimpunkan 13 kumpulan dari beberapa negeri.

Program anjuran Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) menerusi Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Pulau Pinang dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Wilayah Utara itu berlangsung di Auditorium P. Ramlee, JKKN Pulau Pinang, malam tadi.

Menerusi kenyataan yang dikeluarkan JKKN Pulau Pinang, penganjuran Pesantun dilihat sebagai antara usaha berterusan memperkasakan seni pantun sebagai warisan budaya tidak ketara yang sarat dengan keindahan bahasa dan pemikiran.

Menurutnya, program berkenaan turut menjadi wadah untuk menyemarakkan minat masyarakat khususnya generasi muda terhadap seni berpantun, selain memastikan warisan tradisi itu terus dipelihara dan diwarisi generasi akan datang.

“Pertandingan tahun ini mendapat sambutan menggalakkan dengan penyertaan 13 kumpulan dari Pulau Pinang, Kedah, Perak, Selangor dan Melaka.

“Menariknya, setiap pusingan pertandingan mengangkat tema berbeza yang menguji kreativiti dan keupayaan peserta menghasilkan pantun secara spontan, segar serta menepati tema ditetapkan,” katanya di sini, hari ini.

Antara tema yang diketengahkan ialah Budi Bahasa, Warisan, Lawak Jenaka, Kasih Sayang serta Kebudayaan dan Kesenian Negeri Pulau Pinang.

Sementara itu, kumpulan Pamor Sempana USM muncul juara Pesantun Peringkat Negeri Pulau Pinang 2026, manakala Lentera Irama memenangi tempat kedua dan Dian Pendeta di tempat ketiga.

Majlis turut dihadiri Timbalan Pengarah Bahagian Pengembangan Seni Budaya JKKN, Amirulazam Ibrahim yang mewakili Ketua Pengarah JKKN, Pengarah JKKN Pulau Pinang, Eezmadyna Azalin Nordin dan Pengarah DBP Wilayah Utara, Sharrul Rizal Hashim.

Justeru katanya, JKKN Pulau Pinang komited meneruskan penganjuran program kesenian dan kebudayaan bagi mendekatkan masyarakat dengan seni warisan, selain memperkukuh usaha pemeliharaan dan pemerkasaan warisan budaya negara. -KOSMO! ONLINE

HABIS//

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di