Para peserta didedahkan dengan permainan alat muzik tradisional Indonesia iaitu angklung.

Siswa UPM-UPI kongsi ilmu dalami sastera, warisan budaya Nusantara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PROGRAM Narasi Nusantara: Bahasa, Sastera dan Warisan Budaya Serumpun untuk Penyelidikan dan Dialog Global telah berjaya menghimpunkan seramai 22 mahasiswa Kelab Bacelor Pendidikan Bahasa Melayu dengan Kepujian, Fakulti Pengajian Pendidikan, Universiti Putra Malaysia (UPM).

Menariknya, program itu turut melibatkan 15 mahasiswa Universitas Pendidikan Indonesia (UPI) dalam usaha memperkukuh hubungan akademik, penyelidikan dan kebudayaan antara Malaysia-Indonesia.

Berlangsung di Bandung, Indonesia selama 14 hari, program itu menjadi platform perkongsian ilmu yang memberi peluang kepada mahasiswa kedua-dua negara mendalami bahasa Melayu, kesusasteraan dan warisan budaya Nusantara melalui pelbagai aktiviti ilmiah, kebudayaan serta khidmat masyarakat.

Pengisian program itu telah dirangka secara menyeluruh bagi memberi pengalaman pembelajaran di luar bilik kuliah, sekali gus meningkatkan kompetensi mahasiswa sebagai bakal pendidik yang mampu bersaing di peringkat antarabangsa tanpa mengetepikan identiti bahasa dan budaya sendiri.

Menurut pengarah program itu, Muhamad Syafiq Mohd. Salleh, Narasi Nusantara membuktikan bahawa bahasa dan sastera mampu menjadi jambatan yang menghubungkan masyarakat serumpun serta mengeratkan hubungan Malaysia-Indonesia.

“Program ini bukan sekadar memberi pengalaman belajar di luar negara, malah membuka ruang kepada mahasiswa untuk memahami kepelbagaian budaya, mengembangkan jaringan akademik dan membina keyakinan sebagai bakal guru.

“Narasi Nusantara membawa mahasiswa melihat sendiri bagaimana bahasa, sastera dan budaya mampu menjadi medium penyatuan masyarakat.

“Pengalaman ini menjadikan mereka lebih menghargai warisan sendiri, di samping memahami keunikan budaya negara jiran. Inilah pengalaman yang sukar diperoleh melalui pembelajaran di dalam bilik kuliah,” katanya.

NARASI Nusantara merupakan platform untuk mahasiswa bertukar-tukar ilmu, budaya dan cara hidup masyarakat di Malaysia serta Indonesia.

Sepanjang program berlangsung, para peserta berpeluang mengikuti seminar akademik yang memfokuskan bidang bahasa, sastera dan budaya Nusantara, kuliah umum bersama tokoh akademik, dialog ilmiah, pembentangan penyelidikan dan lawatan akademik ke institusi pendidikan.

Selain itu, para peserta dapat menyertai bengkel penulisan Aksara Sunda yang memperkenalkan sistem tulisan tradisional masyarakat Sunda sebagai antara khazanah intelektual Indonesia.

Selain memperkukuh pengetahuan akademik, mahasiswa turut didedahkan kepada kepelbagaian budaya menerusi Slot Keindahan Citra Budaya Malaysia-Indonesia.

Antara aktiviti yang dilakukan dalam slot itu adalah pembentangan berkaitan bahasa dan kesusasteraan, persembahan muzik tradisional, pameran pakaian warisan, demonstrasi penyediaan makanan tradisional, permainan rakyat serta perkongsian adat istiadat perkahwinan masyarakat Malaysia-Indonesia.

Melalui pengisian tersebut, para peserta bukan sahaja memperoleh pengetahuan baharu, malah dapat memahami persamaan dan perbezaan budaya yang menjadi kekuatan hubungan antara kedua-dua buah negara serumpun.

Bagi melengkapkan pengalaman pembelajaran, peserta turut menyertai lawatan ilmiah ke beberapa institusi pendidikan, lokasi bersejarah dan destinasi kebudayaan di sekitar Bandung, Indonesia.

Lawatan tersebut memberi peluang kepada mahasiswa mengenali sejarah perkembangan pendidikan, bahasa, seni bina dan kehidupan masyarakat Indonesia.

PELAJAR UPM dan UPI bergambar kenangan semasa program Narasi Nusantara di Fakultas Pendidikan Bahasa dan Sastra, UPI, Indonesia baru-baru ini.

Selain pengisian akademik, peserta turut melaksanakan program khidmat komuniti di SMP Labschool UPI yang melibatkan aktiviti pendidikan, permainan bahasa, apresiasi sastera, komunikasi kreatif dan pembangunan sahsiah bersama murid sekolah.

Para peserta juga mengadakan program kesukarelawanan di Rumah Panti Asuhan Mizan Amanah, Bandung, menerusi sesi motivasi, aktiviti interaktif, perkongsian budaya, penyampaian sumbangan dan pelbagai aktiviti bersama anak-anak yatim.

Aktiviti tersebut memberi peluang kepada mahasiswa mengaplikasikan ilmu dipelajari di universiti dalam situasi sebenar, selain memupuk nilai kepimpinan, empati, kerja berpasukan dan tanggungjawab sosial sebagai persediaan menjadi pendidik yang prihatin terhadap masyarakat.

Sebagai sebahagian daripada pengisian diplomasi pendidikan, para peserta turut mengadakan lawatan rasmi ke Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta yang diketuai oleh Timbalan Pengarah Program, Nur Amirah Isahak.

Lawatan tersebut memberi pendedahan kepada mahasiswa mengenai fungsi perwakilan diplomatik Malaysia, peranan kedutaan dalam menjaga hubungan dua hala serta usaha memperkukuh kerjasama pendidikan, kebudayaan dan kerjasama jaringan akademik antara Malaysia-Indonesia.

Sementara itu, Pensyarah Kanan, Jabatan Pendidikan Bahasa dan Kemanusiaan, Fakulti Pengajian Pendidikan UPM, Dr. Muhammad Zarif Hassan@Zulkifli yang turut bertindak sebagai pensyarah pengiring berkata, pengalaman pembelajaran rentas negara memberi nilai tambah kepada pembentukan jati diri mahasiswa secara holistik.

“Pendedahan terhadap budaya, sistem pendidikan dan kehidupan masyarakat negara jiran mampu melahirkan graduan mempunyai pemikiran lebih terbuka serta kemahiran insaniah yang amat diperlukan dalam dunia pendidikan masa kini.

“Mahasiswa bukan sahaja memperoleh pengetahuan baharu, malah belajar menyesuaikan diri dengan persekitaran yang berbeza, membina keyakinan dan meningkatkan kemahiran insaniah.

“Pengalaman seperti ini akan membantu mereka menjadi pendidik yang lebih bersedia menghadapi cabaran pendidikan global,” ujarnya.

Sepanjang program berlangsung, delegasi UPM turut dibimbing oleh Dr. Marzni Mohamed Mokhtar bersama Dr. Muhammad Zarif Hassan @ Zulkifli selaku pensyarah pengiring.

Dalam pada itu, Prof. Dr. Yulianeta, M.Pd. daripada Fakultas Pendidikan Bahasa dan Sastra, UPI menyifatkan Narasi Nusantara sebagai platform penting dalam memperkukuh hubungan ilmu dan persaudaraan antara masyarakat Malaysia-Indonesia.

“Bahasa dan sastera merupakan warisan yang menyatukan masyarakat Nusantara. Justeru, usaha memperkenalkan warisan tersebut kepada generasi muda perlu diteruskan secara konsisten melalui kerjasama institusi pendidikan.

“Mahasiswa bukan sahaja bertukar-tukar ilmu, malah saling mempelajari budaya dan cara hidup masyarakat masing-masing.

“Pengalaman seperti ini akan memperkukuh persefahaman serta membuka lebih banyak peluang kerjasama pada masa hadapan,” katanya.

Bagi wakil mahasiswa UPI, Mochamed Azky, program tersebut meninggalkan pengalaman yang sukar dilupakan kerana berjaya mengeratkan hubungan persahabatan antara mahasiswa di kedua-dua negara.

“Kami tidak melihat mahasiswa Malaysia sebagai tetamu tetapi sebagai saudara serumpun. Walaupun berasal dari negara yang berbeza, namun kami berkongsi bahasa, sejarah dan budaya yang hampir sama.

“Persahabatan yang terjalin sepanjang program ini diharapkan akan terus berkekalan,” katanya.

Program Narasi Nusantara mendapat sokongan pelbagai rakan-rakan strategik seperti Fakultas Pendidikan Bahasa dan Sastra UPI, Fakulti Pengajian Pendidikan UPM, Bahagian Hal Ehwal Pelajar UPM, i-PUTRA UPM, Pusat

Pengurusan Wakaf, Zakat dan Infak UPM serta Kelab Bacelor Pendidikan Bahasa Melayu dengan Kepujian.

Kerjasama erat semua pihak membolehkan pelbagai aktiviti pengisian akademik, kebudayaan dan kesukarelawanan dilaksanakan dengan jayanya, sekali gus mencapai objektif program.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di