PEMAIN sensasi skuad bawah 17 tahun (B-17) wanita negara, Lim You berpotensi untuk menembus skuad utama Malayan Tigres jika terus dapat mempamerkan prestasi konsisten pada masa akan datang.
Meskipun baru berusia 14 tahun, Lim You sudah mencipta fenomena tersendiri apabila meledak tujuh gol dalam aksi Piala Srikandi Merdeka ketika menewaskan Arab Saudi 9-0 minggu lalu sekali gus merangkul kasut emas kejohanan di Indonesia itu dengan lapan jaringan.
Pengarah Teknikal Bola Sepak Wanita, Soleen Al-Zoubi mengakui bakat pemain warisan negara yang berpangkalan di Amerika Syarikat (AS) itu sangat besar dan perlu digilap sebaiknya.
Menurut Soleen, sikap positif serta kemampuan Lim You menyesuaikan diri dalam skuad kendalian Fairuz Montana Zainal Abidin itu wajar dipuji.
Malah, Soleen tidak menolak kemungkinan pemain berusia 14 tahun itu dipanggil menyertai skuad senior sekiranya perkembangannya terus berada pada landasan yang betul.
“Saya juga sangat gembira mempunyai dengan prestasi Lim You kerana dia dapat menyesuaikan diri dengan sangat baik, menunjukkan karakter hebat dan memberikan persembahan yang kuat.
“Lim You adalah aset besar kepada bola sepak wanita Malaysia dan saya berharap dia serta semua pemain lain terus berkembang, meningkat dan mencapai potensi maksimum mereka untuk membantu mengangkat bola sepak wanita negara,” katanya ketika dihubungi Kosmo!.
Bagaimanapun, Soleen turut menegaskan pemain muda seperti Lim You perlu melalui proses peralihan secara berperingkat tanpa dibebani tekanan berlebihan.
“Ya, kenapa tidak (memanggil Lim You dalam skuad senior)? Kami sebelum ini sudah memanggil pemain seawal usia 15 hingga 16 tahun untuk menyertai skuad senior.
“Cuma, dia masih berusia 14 tahun, jadi kami perlu memastikan peralihan dan penyesuaiannya berjalan lancar selain menyediakan persekitaran yang betul untuk berkembang mengikut rentaknya sendiri,” katanya.














