NABILAH membawa pulang lima pingat emas menerusi tiga disiplin berbeza pada pentas Sukma kali ini. - FB MAJLIS SUKAN NEGERI KEDAH

Sukma 2026: Nabilah nekad buru slot Sukan SEA

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

LIMA pingat emas dalam tiga disiplin berbeza pada pentas Sukan Malaysia (Sukma) 2026 kali ini menjadi tonik terbaik buat pelumba Kedah, Nurul Nabilah Mohd Asri untuk memburu tempat dalam skuad kebangsaan ke Sukan SEA Malaysia 2027.

Pelumba berusia 21 tahun itu kini mengalihkan tumpuan untuk kembali menyarung jersi negara dengan pencapaian di Sukma memberikan suntikan keyakinan untuk merebut tempat dalam program persediaan menghadapi temasya dwitahunan berkenaan.

“Perancangan saya selepas ini adalah terus berlatih bersungguh-sungguh dan cuba merebut tempat dalam skuad kebangsaan untuk Sukan SEA. Saya pernah beraksi pada Sukan SEA Thailand tahun lalu dan menduduki tempat keenam dalam perlumbaan lebuh raya.

“Saya mahu memperbaiki pencapaian itu tahun depan dan berharap dapat menaiki podium. Harap-harap laluan perlumbaan di sini nanti sesuai untuk pelumba pecut,” katanya.

Nabilah sebelum ini pernah membawa cabaran negara di pentas Sukan SEA dengan menamatkan saingan acara lebuh raya di kedudukan keenam, namun kali ini dia membawa bekalan lebih meyakinkan selepas menyerlah sepanjang Sukma Selangor.

Lebih mengagumkan, lima emas tersebut diraih dalam jadual padat membabitkan tiga disiplin berbeza iaitu berbasikal gunung (MTB), lebuh raya dan trek, sekali gus membuktikan kemampuan Nabilah menyesuaikan diri dalam corak perlumbaan berbeza.

Dia terlebih dahulu menjuarai acara cross-country Olympic (XCO), kriterium dan perlumbaan lebuh raya beramai-ramai sebelum menambah emas pecut berpasukan di velodrom dan melengkapkan koleksi menerusi acara scratch wanita.

Emas kelima itu hadir pada hari terakhir saingan di Velodrom Nasional Malaysia apabila Nabilah bijak mengatur strategi dalam perlumbaan scratch sebelum memenangi perebutan sengit pada penghujung perlumbaan.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di