KOTA TINGGI – Kereta terbabas sebelum masuk ke laluan bertentangan dipercayai menjadi punca kemalangan yang meragut tiga nyawa di Kilometer 80 Jalan Johor Bahru – Mersing petang semalam.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Yusof Othman berkata, pihaknya laporan berkaitan kemalangan melibatkan Toyota Vios dan Honda City itu pada pukul lebih kurang 5.25 petang.
Mangsa maut dikenali sebagai Muhamad Shuhairil Soraiya, 21, Nur Fatin Nabilah Yusrishahrun 20, serta Muhamad Amin Mukhtar, 35.
“Kemalangan tersebut melibatkan dua buah kenderaan iaitu Toyota Vios yang dipandu oleh lelaki warga tempatan berusia 21 tahun bersama penumpang perempuan warga tempatan berusia 20 tahun dengan Honda City yang dipandu seorang lelaki warga tempatan berusia 35 tahun.
“Kemalangan dipercayai berlaku apabila Toyota Vios putih terbabas masuk laluan bertentangan lalu bertembung Honda City merah.
“Dalam kemalangan tersebut, ketiga-tiga mangsa telah mengalami kecederaan parah pada bahagian kepala serta badan dan telah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,”katanya dalam kenyataan hari ini.-KOSMO! ONLINE














