Rumah Api Permatang Sedepa atau lebih dikenali dalam kalangan pemancing sebagai One Fathom Bank merupakan antara lokasi terkenal bagi kaki pancing yang berlepas dari jeti-jeti di sekitar Klang, Selangor.
Trip kali ini kami membuat keputusan untuk bermalam di atas bot. Kami bakal menerjah lubuk-lubuk berpotensi di sekitar Rumah Api One Fathom Bank (OFB) dan Tiang Api One Fathom Bank North (OFBN).
Kami menggunakan perkhidmatan bot tekong Mejar Manah Saad di jeti Sementa, Klang, Selangor.
Kebetulan menurutnya, tarikh yang kami pilih 11 Muharram itu jatuh pada arus cantik untuk memancing ikan jenahak bertaraf ‘bantal’.
Di hari trip, kami harus sampai ke jeti awal kerana pukul 10 pagi bot kena keluar dari muara untuk mengelak tersangkut akibat air surut.
Nasib baik kami tinggal di sekitar Klang, jadi tidaklah terkejar-kejar dengan masa dan kesesakan lalu-lintas.
Lubuk kapal karam
OFB dibina kerana ia merupakan beting pasir cetek di tengah laut yang membahayakan laluan kapal-kapal besar, sebab itu kawasan ini dinamakan Permatang Sedepa.
Oleh itu, ada beberapa lubuk di sekitar OFB merupakan kapal-kapal karam yang menjadi ‘mahligai’ spesies ikan dasar seperti jenahak, kerapu, gerut-gerut, kaci dan sebagainya.

Pada masa sama, spesies ikan pertengahan air seperti talang, alu-alu, gerepoh (GT), tenggiri, haruan tasik dan lain-lain juga akan menempel
sama.
Jadi, sebaik keluar dari muara, tekong terus menuju ke salah satu kapal karam di sana, dan perjalanan mengambil masa lebih dari satu jam untuk sampai.
Persembahan untuk pancing dasar di sini adalah dengan mengunakan mata kail saiz 4/0 hingga 6/0 diikat
pada perambut berkekuatan antara 60 hingga 80 paun (lb) sepanjang lebih kurang dua depa setengah yang disambung ke tanduk (spreader).
Saiz batu ladung pula mengikut kekuatan arus antara 14 hingga 24, asalkan ia dapat lekat di dasar tanpa terangkat ditolak arus, sudah memadai.
Tiga jam kami masih setia menunggu tarikan ganas daripada ikan bersaiz kasar sambil melayan ikan-ikan kecil seperti timun dan mengkerong yang acap kali mengusik umpan sotong kurita kami.
Hampir pukul 5 petang, barulah joran milik Suhaimi menunduk.
Kekili elektriknya memerah kederat menaikkan ikan yang cukup kuat menekan.
Awalnya disangka jenahak saiz kasar kerana ia gemar umpan sotong kurita.
Namun apabila ikan naik ke permukaan air, kilauan keperakan yang lebar pula muncul, rupa-rupanya ia adalah seekor GT saiz kasar.
Sebaik ikan dinaikkan ke dalam bot, tekong cepat-cepat mengarahkan kami menaikkan umpan kerana dia hendak ubah labuhan bot disebabkan arus
sudah bertukar.
Ini bagi mengelak tali sauh tersangkut di kapal karam.
Selepas bertukar kedudukan bot, masing-masing bergegas menurunkan umpan.
Umpan Pak Abu direntap kasar dan pertarungan berlangsung lebih lama daripada ikan GT yang pertama tadi.
Tidak diduga seekor GT lebih besar daripada yang pertama tadi dapat dinaikkan.
Senja berlabuh tidak lama selepas itu, kami betul-betul mengharapkan ikan jenahak akan menjadi aktif.
Harapan tinggi tersebut akhirnya tertunai apabila saya berjaya menaikkan seekor jenahak ‘bantal’ sebaik malam menjelma.
Sesi malam di OFB
Dalam trip ini, tekong turut sama-sama memancing.
Dia juga menyumbang hasil tangkapan beberapa ekor ikan gerut-gerut dan mengajar kami cara menangkap sotong cumit.
Lampu panjang kalimantang diubah suai dengan menggunakan kuasa bateri kereta dan cahayanya ditala ke air. Seekor udang hidup dicangkuk dicandat sebagai ‘denak’ untuk memujuk sotong cumit menghampiri bot.
Sotong cumit akan terus ditangguk, dan tidak lama kemudian tekong sudah dapat lima ekor.
Ia terus disimpan ke dalam tangki umpan untuk dihidupkan.
Dalam seronok menangguk sotong, umpan saya pula dirembat seekor ikan haruan tasik, habis semua tali pancing rakan-rakan berbelit apabila ikan pusing di sekeliling bot. Suasana kucar-kacir itu bersambung dengan seekor ikan alu-alu pula selepas itu.
One Fathom Bank North
Arus bertukar menjadi laju dan ikan dasar juga menjadi semakin sepi. Tekong lantas mengubah lokasi ke Tiang Api Permatang Sedepa Utara atau dikenali sebagai One Fathom Bank North (OFBN)
Jarak OFBN dari OFB lebih kurang 11 batu nautika dan mengambil masa hampir satu jam lebih perjalanan kerana bot bergerak perlahan di
malam hari bagi mengelak bahaya.
Kami tiba di destinasi pada pukul 1 pagi, umpan sotong cumit yang telah dipotong secara memanjang oleh tekong diturunkan.
Hanya ikan jenahak saiz ‘dara’ yang kami dapat.

Empat jam selepas itu, Pak Abu menerima asakan kuat dan seekor lagi jenahak ‘bantal’ berjaya dibawa naik ke atas bot.
Selesai sahaja solat subuh, tekong parkir bot berhampiran tiang api.
Di situ, kami bergasak ikan gerut-gerut pula. Dalam masa tidak sampai dua jam, 30 ekor ikan itu saiz bawah 1.5 kilogram kami dapat.
Tiba-tiba, cuaca berubah dengan pantas, angin Barat yang kuat datang dari arah Indonesia.
Tekong dengan segera menamatkan sesi memancing bagi mengelak berlaku kecelakaan.
Selepas hampir tiga jam mengharung alun dan angin, akhirnya kami sampai ke jeti dengan selamat.














