SEREMBAN – Masih ada pemilik kenderaan mewah yang mengambil sikap sambil lewa dan ‘berani’ memandu tanpa cukai jalan dalam tempoh enam bulan hingga setahun dalam Ops Luxury yang dijalankan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Sembilan baru-baru ini.
Pengarah JPJ Negeri Sembilan, Jasyindar Singh Sidhu berkata, sebuah Lamborghini milik ahli perniagaan lelaki berusia 40-an antara 301 buah kenderaan mewah yang disita bagi tempoh Januari hingga Ogos lalu.
Katanya, pelbagai alasan digunakan pemilik kenderaan mewah termasuk terlepas pandang serta telah menyerahkan wang kepada pihak ejen untuk diuruskan.
“Apabila JPJ hubungi ejen mereka beri alasan kecuaian dan masih belum memperbaharui cukai jalan. Terlepas pandang dalam tempoh tiga bulan masih boleh diterima, tetapi jika sudah setahun kesalahan ini memang ketara dan bahaya memandu tanpa cukai jalan, selain menyulitkan pengguna jalan raya sekiranya berlaku kemalangan,” katanya pada sidang akhbar Ops Luxury di sini hari ini.
Menurut Jasyindar, Lamborghini Huracan yang disita bernilai lebih RM1 juta dan pemiliknya dikesan tidak memperbaharui cukai jalan sebanyak RM35,764 sejak enam bulan lalu.
Katanya, kenderaan mewah lain yang disita dalam Ops Luxury di sekitar Negeri Sembilan ialah jenama mewah Ford Mustang, Jeep Wrangler Sahara, Mini Countryman dan Toyota Alphard milik ahli perniagaan bergelar Datuk Seri dan Datuk.
“Sebanyak 301 buah kenderaan mewah telah disita bagi tempoh Januari hingga Ogos 2026 iaitu peningkatan 105 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lalu dengan 90 buah kenderaan mewah disita,” katanya.- KOSMO! ONLINE














