Konflik Amerika Syarikat (AS)- Iran masih lagi belum selesai, manakala ketegangan di Ukraine serta Gaza kekal berpanjangan.
Presiden AS, Donald Trump yang kembali memegang jawatan tahun lalu berikrar untuk menjadi seorang ‘pendamai’. AS baru-baru ini menggesa negara lain termasuk China supaya menyertai kempen baharu Trump, untuk mengasingkan ekonomi Iran dan menumbang rejim Tehran.
Selain ingin melaksanakan operasi ekonomi paling melumpuhkan ke atas Iran, Trump memberi amaran bahawa mana-mana negara atau syarikat yang membantu Tehran akan berdepan kemusnahan ekonomi.
China antara rakan strategik utama Iran yang membeli sebahagian besar minyak dari negara di Asia Barat itu.
Felo Majlis Profesor Negara, Azmi Hassan berkata, matlamat kempen terbaharu AS itu bertujuan memberi tekanan kepada Iran yang mengawal Selat Hormuz jika pendekatan ketenteraan tidak menjadi.
“Saya melihat kempen ini akan berhasil jika disertai China kerana selepas Russia, Iran merupakan negara paling banyak dikenakan sekatan ekonomi dan ketenteraan.
“Namun, saya tidak nampak sekatan ekonomi itu akan berhasil. Adakah ia dapat memberi tekanan? Tekanan itu sudah wujud dan dirasai oleh Iran serta rakyatnya pada ketika ini,” ujarnya.
Katanya, besar kemungkinan China tidak akan menyertai kempen terbaharu Trump.
“Bukan sahaja disebabkan kebergantungan Iran dengan China, tetapi China juga bergantung dengan Iran terutamanya dari segi bekalan tenaga dan minyak.
“China mempunyai kuasa besar, pengaruh atau ‘leverage’ untuk mempertahankan pendirian mereka serta menolak sebarang desakan daripada Trump untuk menyertai kempen beliau.
“Dalam hal ini, saya tidak nampak China akan menyertai kempen Trump kerana ia akan merugikan negara itu sendiri. Tanpa penyertaan China, kempen itu tidak akan membawa sebarang perubahan,” jelas Azmi.
Katanya, Trump menyasarkan China kerana Iran banyak bergantung dengan Beijing dari segi perdagangan.
“Iran memerlukan wang daripada jualan hasil minyak dan sudah semestinya China dapat memberi manfaat kepada Iran melalui pembelian minyak dan tenaga.
“Iran mempunyai kelebihan dengan mengawal Selat Hormuz. Selagi laluan strategik itu dikawal, maka proses rundingan akan terus berdepan jalan buntu,” katanya.
Tambahnya, tidak dinafikan bahawa setiap langkah atau keputusan yang dibuat oleh Trump hanya memenuhi kepentingan AS semata-mata.
“Selat Hormuz sebelum ini tidak pernah disekat sebelum Trump melancarkan serangan ke atas Iran pada Februari lalu.
“Justeru, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dilihat tidak mampu berbuat apa-apa, manakala Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) turut berdepan kesukaran untuk mendesak Trump agar menghentikan konflik tersebut,” katanya.
Tambahnya, Trump sudah mengetahui jika sekatan ekonomi secara langsung ke atas Iran tidak akan memberi apa-apa kesan.
Maka, impak, tekanan atau tempiasnya akan dirasai oleh negara-negara lain yang berdagang dengan Iran. Bukan hanya China tetapi termasuk Malaysia.














