SEKITAR September tahun lalu, seorang pensyarah wanita, Dr. Hanis Hidayu Kasim, 39, pernah tular di negara ini kerana kejayaannya meraih ijazah doktor falsafah (PhD) dari University of Cambridge, United Kingdom tanpa sebarang pembetulan (without correction).
Pencapaian luar biasa yang jarang sekali berlaku di universiti berprestij dunia itu menjadi bukti ketelitian dan kualiti penyelidikan anak tempatan diperakui di peringkat antarabangsa.
PhD tanpa pembetulan bermaksud tesis yang dihantar adalah hampir sempurna dan jawatankuasa senat universiti meluluskannya tanpa perlu sebarang pindaan.
Kisah kejayaannya juga menyimpan momen pilu apabila Hanis diceritakan menyiapkan tesisnya di sebelah katil arwah bapanya di hospital. Pada masa itu, Hanis telah pulang ke Malaysia apabila bapanya, Kasim Daud, 75, dikhabarkan sakit dan dia berada di sisi bapanya saat lelaki itu menghembuskan nafas terakhir.
Baru-baru ini, tibalah konvokesyen baginya yang juga merupakan pensyarah di Fakulti Perubatan Sains Kesihatan (FPSK) Universiti Sains Islam Malaysia (USIM). Momen di University of Cambridge tersebut cukup manis apabila ia diraikan bersama ramai ahli keluarga dan kenalan dari Malaysia.

Hanis berkata, sepanjang empat tahun di United Kingdom, dia menunggu satu perkara yang tidak pernah tiba iaitu kehadiran keluarga.
“Musim berganti, tahun berlalu, dan keadaan kesihatan ayah semakin merosot. Akhirnya saya belajar untuk reda, menyimpan rasa sedih setiap kali melihat keluarga rakan lain hadir meraikan mereka.
“Namun, Allah menangguhkan detik itu kepada sesuatu yang jauh lebih indah apabila baru-baru ini ibu tersayang, Asnah Hussin, 76, kakak saya, Hazrin Kasim dan anak kakak, Lisa akhirnya menjejakkan kaki ke Cambridge menemani keluarga kecil saya menyaksikan sendiri perjalanan yang selama ini hanya saya ceritakan.
“Bukan itu sahaja, guru saya dari Malaysia juga datang meraikan, Dr. Mohd. Khairul Nizam dan Dr. Mardiana,” katanya.
Kongsinya, pada hari bersejarah itu, katanya, dia memulakan perjalanan konvokesyen dengan perarakan rasmi dari Downing College ke Senate House.

Setibanya di Senate House, katanya, dia berdiri di barisan paling hadapan bersama dua lagi graduan PhD iaitu seorang dari Itali dalam bidang Theoretical Physics dan seorang dari China dalam Sains Komputer.
“Kami bertiga mewakili latar belakang dan disiplin berbeza, namun disatukan oleh satu pencapaian yang sama. Dalam hati, saya kagum melihat kehebatan mereka dan dalam masa yang sama bersyukur dapat berdiri sebaris dalam detik bersejarah ini.
“Majlis berlangsung penuh tradisi, sederhana tetapi sarat makna. Para graduan berdiri di tengah dewan, manakala tetamu memenuhi ruang di kiri dan kanan. Saya diberi peluang membawa masuk sembilan tetamu untuk majlis graduasi ini.
“Saya melihat wajah ibu saya di samping suami dan anak saya sebelah kanan dewan tersenyum melihat saya. Upacara dijalankan sepenuhnya dalam bahasa Latin, mengekalkan warisan akademik ratusan tahun,” katanya.
Hanis berkata, saat namanya dipanggil, dia melutut di hadapan Naib Canselor untuk dianugerahkan ijazah PhD in Paediatrics disaksikan oleh ibu, suami, anak serta insan-insan yang banyak menyokong perjalanannya.
“Apabila keluar sahaja dari dewan senat saya melihat wajah sahabat-sahabat yang saya rindukan, sedang menanti saya di luar pagar Senate House. Ada yang datang dari Cambridge, London, Bristol serta Malaysia untuk berkongsi detik ini.
“Penyelia PhD saya, Dr. Kathy Beardsall juga sempat hadir bersama ahli kumpulan kajian kami.
“Kehadiran mereka menjadikan hari konvokesyen ini terasa luar biasa, bukan sekadar majlis akademik tetapi sebuah perayaan hubungan dan kenangan serta memori ini terukir kekal selamanya,” katanya.
Menyorot pencapaiannya, tesis Hanis Hidayu yang bertajuk Kajian Metabolisme Lemak dan Hubung Kait dengan Insulin dalam Kalangan Bayi Pramatang pada Tahun Pertama lulus tanpa pembetulan.
Ujarnya, dia difahamkan oleh universiti berkenaan sebagai satu-satunya pelajar PhD dari Malaysia pada tahun ini setakat Mei lalu yang lulus tesis tanpa sebarang pembetulan di institusi pengajian tinggi itu.
Bagaimanapun, katanya, dia enggan mendabik dada kerana kejayaan itu bukanlah suatu yang mudah diperoleh kerana pelbagai kisah suka dan duka ditempuhinya sepanjang empat tahun enam bulan perjalanannya untuk mendapatkan PhD tersebut.
“Perjalanan saya bermula ketika sekatan Covid-19 pada 2020 apabila saya tiba di Cambridge bersama suami, Dr. Mohd Hanafi Abdull Habir, 42, dan anak perempuan kami yang berusia 4 tahun ketika itu, Hannah Khayla,” katanya.
Hanis Hidayu berkata, semasa proses pengumpulan data, dia mendekati kira-kira 430 ibu bapa dengan bayi pramatang, namun hanya 73 yang bersetuju untuk menyertai kajian dilakukan.
“Itu melibatkan banyak penolakan dan saya melakukan kesemua proses itu secara bersendirian.
“Keluk pembelajaran yang curam menuntut saya untuk sentiasa belajar, terutama bagi analisis data yang kompleks melibatkan lipidomik di makmal serta sistem berkaitan,” katanya.
Hanis Hidayu berkata, antara perancangannya untuk masa depan adalah untuk terus menjadi akademia iaitu guru kepada pelajar perubatan di USIM dan menjalankan kajian-kajian berkaitan metabolisme kanak-kanak.
“Niat saya adalah satu, membina generasi yang banyak manfaat kepada dunia dan mempunyai kesihatan yang optimal bagi bekalan di hari tua,” katanya.
Rancangan lain pula, katanya yang berasal dari Klebang Besar, Melaka, adalah membantu sistem pendidikan negara menghasilkan lebih ramai orang bijak pandai yang akhirnya berbakti kepada kemajuan Malaysia.
“Saya mahu mengajak lebih ramai untuk melanjutkan pengajian ke peringkat ijazah dan ijazah kedoktoran. Ini saya anggap sebagai satu amanah yang Allah kurniakan kepada saya usai keputusan PhD tanpa pembetulan dari Universiti Cambridge.
“Saya bawa bekal kisah dan cerita saya untuk bantu orang lain nampak dan percaya bahawa kalau orang biasa macam saya pun boleh, mereka juga layak untuk berada di tempat yang sama.
“Ini kerana pada akhirnya, semua ini adalah atas satu visi iaitu membantu ummah. Insya-Allah,” katanya.






