SHAH memilih menceraikan isterinya kerana sering menjadi mangsa keganasan rumah tangga oleh wanita panas baran itu. – Ilustrasi Shah Hasan

Suami tahan lebam, isteri bertabiat ganas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

“KALAU dia naik angin, habis barang-barang di dalam rumah dirosakkannya. Badan saya juga lebam-lebam kerana cuba menahan amarahnya itu.

“Kalau ikutkan kudrat lelaki, saya boleh saja melawannya. Bagaimanapun, saya memilih untuk tidak mahu memburukkan keadaan, risau jadi lebih parah lagi.”

Itulah luahan perasaan Shah (bukan nama sebenar) ketika berkongsi cerita perjalanan rumah tangganya selama hampir empat tahun bersama bekas isteri.

Menurut lelaki berasal dari Selangor itu, dia sama sekali tidak mempunyai niat untuk menamatkan hubungan rumah tangganya, apatah lagi mereka telah dikurniakan dua orang cahaya mata.

Bagaimanapun, perangai panas baran bekas isterinya membuatkan Shah tidak dapat menahan amarah, sebelum akhirnya melafazkan cerai talak satu.

“Kami bercinta sejak zaman belajar di sebuah universiti, perangainya ketika itu boleh dikatakan okey sahaja, namun ada masa, anginnya tidak baik.

“Ketika itu, saya tidak merasakan sesuatu yang pelik atau rasa tidak selesa, mungkin kerana ‘mabuk’ cinta.

“Selepas dua tahun menamatkan pengajian dan masing-masing sudah bekerja, kami mengambil keputusan untuk berkahwin,” katanya.

Ujar Shah, setelah kelahiran anak sulung mereka, isterinya mengambil keputusan untuk berhenti kerja kerana risau dengan keselamatan anak yang dijaga oleh pengasuh.

Hal ini kerana pada ketika itu, banyak kes penderaan dan kematian kanak-kanak dikongsikan di dalam media.

Keputusan isterinya itu disambut baik oleh Shah demi kesejahteraan keluarga kecil mereka.

“Sejak isteri berhenti kerja, kehidupan kami lebih terurus dan rumah tangga lebih terjaga.

“Isteri saya juga sangat baik, walaupun ada ketikanya dia berkasar dan mengadu letih kerana menguruskan anak-anak seorang diri.

“Disebabkan itu, saya tidak ambil hati jika isteri berkasar kerana faham bukan mudah hendak menguruskan rumah tangga dan anak kecil,” tutur lelaki berusia awal 40-an tersebut.

Tambah Shah, kesabarannya seolah-olah membuatkan isterinya semakin kurang hormat dan suka menengking-nengkingnya.

Menurut lelaki bekerja sebagai pegawai bank itu, isterinya selalu sahaja hendak menang apabila bertengkar serta mahu menjadi ‘queen control’ dalam semua hal di rumah.

“Apabila mood dia tidak baik, dia selalu cari gaduh dengan saya.

“Ketika dia naik angin, habis barang-barang rumah dirosakkannya.

“Saya turut dipukul dengan apa-apa barang yang ada di depan matanya.

“Keadaan ini membuatkan saya keliru. Hal ini kerana secara peribadi, isteri saya seorang yang baik, pandai menjaga anak dan memasak,” katanya.

Shah memaklumkan, dia pernah berbincang dengan isterinya mengenai masalah tersebut, namun wanita itu masih mengulangi tabiat sama.

“Paling saya tak boleh tahan, pada suatu hari, dia rosakkan barangan kesayangan saya hanya kerana ternampak saya bermesej dengan seorang rakan sekerja wanita.

“Saya sudah jelaskan yang kami berbincang mengenai urusan kerja sahaja. Ini kebetulan, ada hal penting di pejabat yang perlu diselesaikan, tetapi dia tidak percaya dan menuduh saya berlaku curang.

“Disebabkan itu, dia membaling barang ke arah saya hingga menyebabkan badan dan kepala saya cedera.

“Dalam keadaan kesal dan marah, saya telah melafazkan cerai talak satu kepada isteri kerana sudah tidak tahan lagi dengan perangainya.

“Kini, kami memilih untuk membawa haluan sendiri bersama pasangan baharu masing-masing,” cerita Shah sebelum mengakhiri bicara.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di