Gambar hiasan

Hengyuan catat untung bersih RM1.13 bilion, tertinggi sejak 2016

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Hengyuan Refining Company Berhad (Hengyuan) mencatatkan keuntungan bersih sebanyak RM1.13 bilion bagi tempoh enam bulan berakhir 30 Jun 2026 (1H TK2026), prestasi separuh tahun pertama terkuat sejak 2016.

Pendapatan syarikat penapisan petroleum itu turut melonjak 71 peratus tahun ke tahun kepada RM10.06 bilion berbanding RM5.89 bilion dalam tempoh sama tahun lalu.

Bagi suku kedua berakhir 30 Jun 2026 (2Q TK2026), Hengyuan merekodkan keuntungan bersih RM600.54 juta, sekali gus mencatatkan keuntungan suku tahunan keempat berturut-turut serta tertinggi dalam tempoh empat tahun.

Pendapatan suku tahunan juga meningkat 56 peratus kepada RM5.44 bilion berbanding RM3.49 bilion pada suku sama tahun lalu.

Menurut Ketua Pegawai Kewangan Hengyuan, Yeo Bee Hwan, prestasi lebih kukuh itu didorong harga jualan purata yang lebih tinggi bagi semua produk utama susulan ketegangan geopolitik yang berterusan di Timur Tengah.

Prestasi berkenaan turut disokong operasi loji yang berdaya tahan dan stabil serta pengurusan risiko kewangan yang berdisiplin.

Menurut beliau, prestasi separuh tahun pertama itu merupakan yang terkuat dalam tempoh 10 tahun, selain syarikat berjaya merekodkan keuntungan bersih suku tahunan keempat berturut-turut.

“Kami berbesar hati untuk mengumumkan prestasi separuh tahun pertama terkuat kami dalam tempoh 10 tahun, di samping keuntungan bersih suku tahunan keempat berturut-turut pada 2Q TK26.

“Prestasi ini menandakan satu pencapaian penting dalam perjalanan kami ke arah mencapai keuntungan dan memberikan pulangan yang lebih baik kepada semua pemegang saham kami,” katanya dalam kenyataan.

Bee Hwan berkata, walaupun berdepan turun naik ketara harga minyak global, Hengyuan berjaya mencatatkan prestasi suku tahunan terbaik sejak suku kedua 2022.

Jelasnya, tumpuan terhadap pelaksanaan operasi yang berdisiplin dan prestasi loji yang stabil, selain pengurusan risiko kewangan, membolehkan syarikat memanfaatkan peningkatan harga purata produk.

Sementara itu, syarikat menjangkakan harga minyak mentah kekal tidak menentu berikutan ketegangan geopolitik di Timur Tengah.

“Melangkah ke hadapan, kami akan terus memberi keutamaan kepada kebolehpercayaan loji dan kestabilan operasi, pengoptimuman campuran minyak mentah dan campuran produk, serta pengurusan inventori, perlindungan nilai dan pendedahan pertukaran asing secara berdisiplin,” katanya. Kosmo!online

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di