Orang ramai mengambil kesempatan menyaksikan raptai penuh Hari Kebangsaan 2026 di Dataran Putrajaya hari ini. - Foto oleh AMIR KHALID

[VIDEO] Orang ramai ‘berkampung’ di Putrajaya lihat raptai penuh merdeka

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PUTRAJAYA – Suasana di sekitar Dataran Putrajaya di sini terus subur dengan semangat patriotik apabila dibanjiri ribuan orang ramai tanpa mengira usia untuk menyaksikan raptai penuh Sambutan Hari Kebangsaan 2026 hari ini.

Tinjauan Kosmo! mendapati orang ramai mula membanjiri Dataran Putrajaya seawal pukul 6 pagi untuk menyaksikan raptai penuh yang bermula pukul 8 pagi.

Secara kebiasaan, sambutan Hari Kebangsaan di Dataran Putrajaya kekal menjadi tumpuan rakyat bagi menyaksikan pelbagai pengisian menarik termasuk perarakan pasukan beruniform, persembahan udara dan pameran aset ketenteraan.

Menurut seorang pengunjung, Asrina Barudin, 40, dia mengambil kesempatan cuti pada hujung minggu untuk menyaksikan raptai penuh bagi mengelakkan kesesakan pada Isnin ini.

“Setiap tahun, sambutan Hari Kebangsaan disambut meriah dan Putrajaya sentiasa dibanjiri dengan orang ramai, sebab itu saya ambil kesempatan hadir ke sini hari ini.

“Oleh kerana persembahan yang dipamerkan begitu menakjubkan, saya buat keputusan untuk hadir sekali lagi pada Isnin ini,” katanya ketika ditemui hari ini.

Suri rumah itu berkata, dia bercadang untuk datang lebih awal pada Isnin ini bagi mendapatkan ‘spot’ terbaik untuk menyaksikan perarakan termasuk penampilan istimewa anggota badan beruniform.

“Disebabkan saya tinggal di Putrajaya, jadi saya merancang untuk datang pada pukul 5 pagi,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi pengunjung, Lisneza Roseli, 40, menyifatkan peluang melihat perarakan secara dekat memberi pengalaman baharu buatnya memandangkan kali terakhir berbuat demikian ketika masih kecil.

Guru yang berasal dari Gombak itu berkata, dia hadir ke Putrajaya bersama enam ahli keluarganya dan bertolak dari rumah seawal pukul 7 pagi dengan menaiki kereta.

“Kalau datang 31 Ogos nanti, mungkin tidak nampak secara jelas kerana terlalu ramai orang, jadi kami datang hari ini,” katanya.

Mengulas pengalamannya menyaksikan raptai itu, Lisneza berkata, dia berasa seronok kerana berpeluang melihat perarakan tersebut secara depan mata.

“Rasa seronok sebab ada banyak perarakan menarik. Pertunjukan udara paling mengujakan kerana sebelum ini saya hanya melihat aksi ini menerusi kaca televisyen,” katanya.

Acara perbarisan dan perarakan Hari Kebangsaan 2026 dijayakan lebih 10,819 peserta daripada 76 kontinjen selain melibatkan 22 pasukan pancaragam, 11 kereta berhias serta 328 aset darat, laut serta darat dan 112 ekor haiwan dalam perkhidmatan. – KOSMO! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di