PETALING JAYA – Individu yang menjadi mangsa ‘love scam’ atau penipuan cinta boleh terjerumus ke dalam perangkap hutang apabila diperkenalkan pula kepada ceti haram bagi memenuhi permintaan ‘scammer’.
Perkara itu didedahkan Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia, Datuk Hishamuddin Hashim yang memaklumkan, taktik tersebut merupakan antara pola yang pernah dikendalikan pihaknya sebelum ini.
Menurut beliau, mangsa lazimnya diperdaya dengan janji-janji palsu termasuk untuk berkahwin dan ditawarkan peluang membuat pelaburan.
Katanya, apabila mangsa sudah kehabisan wang, mereka akan diperkenalkan pula dengan pemberi pinjaman wang dalam talian yang didakwa mempunyai lesen, namun ia merupakan along online yang juga ‘scammer’.
“Pengalaman saya dalam memahami modus operandi ‘love scam’, apabila mangsa bercinta dengan ‘scammer’, penjenayah tersebut akan memberikan janji-janji palsu antaranya untuk berkahwin selain tawaran membuat pelaburan.
“Apabila mangsa sudah tidak mempunyai wang, ‘scammer’ akan memperkenalkan mangsa dengan pemberi pinjaman wang, tetapi along online ini sebenarnya adalah ‘scammer’,” katanya ketika dihubungi Kosmo! Ahad di sini semalam.
Hishamuddin berkata, mangsa yang termakan dengan pujukan itu akan membuat pinjaman menyebabkan jumlah hutang boleh meningkat mencecah ratusan ribu ringgit.
“Jadi pinjam, kemudian tidak boleh bayar, overlap, pinjam lagi dan tak boleh bayar, overlap. Itu yang menyebabkan jumlah hutang boleh mencapai ratusan ribu ringgit,” katanya.
Beliau berkata, sekiranya gagal menjelaskan hutang, ceti haram tersebut akan mengganggu dan mengugut ahli keluarga termasuk untuk membunuh dan menculik anak mangsa.
Jelasnya, tekanan tersebut menyebabkan ada mangsa yang tidak mampu mengawal diri dan mengambil tindakan di luar batasan termasuk mencabut nyawa sendiri.
“Saya sendiri berjumpa dengan ahli keluarga mangsa yang mengambil nyawa sendiri disebabkan gangguan along ‘scammer’,” katanya.
Beliau bagaimanapun tidak dapat mengesahkan kejadian menimpa empat beranak yang ditemukan mati di sebuah kondominium di Desa ParkCity, Kepong pada Khamis lalu mempunyai kaitan dengan sindiket along ‘scammer’.
“Yang pastinya pola love scam yang membawa mangsa kepada along online bukan lagi perkara baharu,” katanya.














