Mount menganggap pengalaman terjun dari pesawat sebagai sangat mengujakan.

Nenek teruja dapat terjun udara pada usia 81 tahun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

TERJUN udara bukan sekadar sukan yang menguji keberanian, malah menjadi pengalaman mendebarkan yang menawarkan peluang untuk merasai sensasi terbang bebas di udara.

Bagi sesetengah individu, aktiviti itu mungkin hanya dilakukan sekali seumur hidup. Namun, berbeza dengan seorang nenek dari Australia yang sudah melakukannya sebanyak tiga kali.

Pada usia 81 tahun, Kuatarina Mount membuktikan faktor usia bukan penghalang untuk mencuba pengalaman luar biasa apabila melakukan terjun udara bersama cucunya.

Wanita berasal dari bandar Burleigh Heads itu berkata, pengalaman terjun udaranya bermula pada tahun 2017 ketika dia menghadiri sambutan ulang tahun ke-50 rakannya.

“Peliknya, saya langsung tidak takut dengan ketinggian, biarpun baru pertama kali melakukannya. Malah, saya menyukai pengalaman itu.

“Oleh itu, saya melakukan lompatan kedua pada tahun sama bersama cucu perempuan sempena ulang tahun kelahirannya yang ke-18.

“Cucu lelaki saya yang ketika itu berusia 10 tahun berasa kecewa kerana tidak dapat menyertai kami,” katanya.

Justeru, apabila cucunya itu genap 18 tahun pada Mac lalu, Mount membuat kejutan dengan membawanya melakukan terjun udara.

Remaja tersebut langsung tidak mengetahui rancangan itu sehingga mereka tiba di SkyDive Australia di Wollongong.

Menurut Mount, cucunya sangat menyukai pengalaman berkenaan, sekali gus menunaikan hajat untuk terjun udara sebelum ini.

“Saya memberitahunya bahawa kami akan ke taman air, walaupun kami bertolak pada pukul 5.30 pagi.

“Dia berbual dengan rakannya di tempat duduk belakang dan tidak bertanya apa-apa sehingga melihat bangunan yang mempunyai papan tanda besar bertulis ‘Skydiving’.

Mount (tengah) bersama cucunya, Bear (kiri) dan rakan cucunya di depan SkyDive.

“Hidup terlalu singkat untuk tidak mengambil risiko dan menikmati pengalaman baharu bersama orang tersayang,” katanya.

Sementara itu, jurulatih terjun udara, Tahi Munroe menyifatkan semangat Mount sebagai sesuatu yang mudah mempengaruhi orang di sekelilingnya.

Katanya, pesawat tersebut hanya mempunyai dua bangku kecil dan satu pintu keluar, sekali gus menyebabkan penumpang tidak mempunyai banyak masa untuk berfikir sebelum melompat.

“Saya dapat lihat dia menikmati setiap saat, tetapi saya rasa pengalaman terjun udara bersama cucunya adalah yang paling bermakna buat Mount.

“Dia tenang dan yakin. Saya hampir pasti dia sempat mengangkat kedua-dua ibu jari tangannya (tanda bagus) ketika terjunan bebas,” katanya.

Munroe yang sudah melakukan lebih 17,000 lompatan dan menjadi peserta pertandingan antarabangsa dan juara dunia BASE berkata, dia gemar berkongsi pengalaman terjun udara dengan sesiapa sahaja yang sanggup mempercayainya untuk membawa mereka kembali ke tanah dengan selamat.

Menurutnya, golongan lebih berusia biasanya lebih beremosi selepas mendarat dan sering tertanya-tanya sebab mereka mengambil masa terlalu lama untuk mencuba pengalaman berkenaan.

Sementara itu, pihak SkyDive Australia memaklumkan, semakin ramai warga emas Australia memilih aktiviti pengembaraan ketika melancong pada usia lanjut.

Data terkini turut menunjukkan bahawa 43 peratus warga emas Australia menganggap mencipta kenangan ketika melancong lebih penting berbanding meninggalkan harta pusaka kepada waris.

Menariknya, Munroe turut memastikan bunga kemboja yang diselitkan pada telinga Mount sebelum lompatan kekal di tempatnya sepanjang aktiviti terjun bebas.

“Bunga itu berjaya kekal di bawah gogal sepanjang dia melakukan terjun bebas. Selepas kami mendarat dengan selamat, saya memberikannya semula sebagai hadiah,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di