Kerajaan cuba menyelesaikan isu pembayaran kepada kontraktor menerusi Operasi Sifar Tertangguh. - GAMBAR HIASAN

Isu ‘payment’ sangkut selesai Disember

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PUTRAJAYA – Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) melaksanakan Operasi Sifar Tertangguh bagi tempoh empat bulan terakhir tahun ini dengan menumpukan kepada penyelesaian segera projek, bayaran, isu tanah, utiliti, kontrak, aset dan keputusan yang masih tertangguh.

Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, langkah itu penting memandangkan masa yang berbaki bagi 2026 tidak panjang, selain kos sesuatu masalah akan meningkat sekiranya keputusan terus ditangguhkan.

“Baki empat bulan untuk tahun ini, saya mahu kita kurang menambahkan perkara-perkara baharu, dan lebih banyak menyelesaikan apa yang telah kita mulakan.  (Jadi) saya mahu seluruh bahagian, jabatan dan agensi melaksanakan Operasi Sifar Tertangguh,” katanya ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Bulanan KKDW di sini, hari ini.

Ahmad Zahid berkata, semakan menyeluruh perlu dilakukan dalam bulan ini meliputi semua projek, bayaran, isu tanah, utiliti, kontrak, aset dan keputusan yang masih belum diselesaikan.

“Kemudian saya mahu ia dibahagikan dengan jelas kepada tiga kategori, iaitu yang boleh diselesaikan (selesaikan segera), memerlukan keputusan atau intervensi lebih tinggi dan tetapkan siapa yang perlu membuat keputusan, dan (projek) yang tidak lagi praktikal atau berdaya maju jangan terus simpan dalam sistem tetapi buat keputusan dan tutup,” katanya.

Beliau berkata, setiap isu yang dibawa juga mesti mempunyai pihak yang bertanggungjawab, tempoh dan keputusan yang jelas bagi mengelakkan masalah berulang dari satu mesyuarat ke mesyuarat lain tanpa penyelesaian.

Tambahnya, keupayaan melaksanakan sesuatu projek sama penting dengan keupayaan merancang kerana kelulusan dan peruntukan sahaja tidak menjamin manfaat dapat diterima rakyat mengikut masa ditetapkan.

“Kelewatan pengambilan tanah, penyelarasan utiliti, masalah kontraktor, keputusan yang tertangguh atau kelemahan penyelarasan antara agensi boleh mewujudkan jurang pelaksanaan sehingga rakyat tidak menerima manfaat projek pada waktunya,” katanya.

Dalam pada itu, beliau mahu isu pembayaran kepada kontraktor diberi perhatian serius, khususnya bagi kerja yang telah dilaksanakan dan mencapai kemajuan seperti ditetapkan dalam kontrak pembangunan, termasuk projek Jalan Luar Bandar di bawah KKDW.

Beliau berkata, kelewatan bayaran bukan sahaja memberikan tekanan kepada kontraktor, malah boleh menjejaskan aliran tunai pembekal, subkontraktor, pekerja dan penyedia perkhidmatan, sekali gus memberikan kesan kepada keseluruhan rantaian ekonomi di sesuatu kawasan. – Bernama

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di