ALOR SETAR – Pertemuan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor bersama kepimpinan UMNO Kedah semalam disifatkan sebagai pertemuan mesra dalam usaha mewujudkan suasana positif antara kedua-dua parti.
Muhammad Sanusi berkata, pertemuan melibatkan pimpinan Pas dan UMNO negeri itu menjurus kepada ‘sembang santai’ terutama mengenai senario politik semasa.
“Sembang santai UMNO Kedah dan Pas, jadi perbualan tentang senario politik semasa, itu sahaja. Kerjasama semua belum lagi. Semua bentuk kerjasama itu akan diputuskan peringkat Pusat. Semua setuju macam itulah kita ikut apa yang Pusat putuskan.
“Ini pertemuan mesra dengan orang tua-tua. Orang tua-tua itu bermaksud mereka yang ada pengalaman dan kefahaman yang cukup tentang politik negeri,” kata Timbalan Pesuruhjaya I Pas Kedah itu selepas menerima kunjungan hormat kepimpinan UMNO negeri di Kediaman Rasmi MB Kedah, di sini semalam.
Pertemuan itu dihadiri Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid, Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Kedah, Datuk Ariffin Man, Ketua UMNO Bahagian Alor Setar, Datuk Seri Ahmad Bashah Md. Hanipah yang juga mantan MB Kedah dan Ketua UMNO Bahagian Jerlun, Datuk Othman Aziz.
Pas Kedah pula diwakili Pesuruhjaya Pas Kedah yang juga Ketua Dewan Ulama Pas Pusat, Datuk Ahmad Yahya, Timbalan Pesuruhjaya II Pas Kedah, Dr. Ahmad Fakhruddin Sheikh Fakhrurazi dan Setiausaha Pas Kedah, Senator Musoddaq Ahmad.
Muhammad Sanusi berkata, pertemuan bagi membentuk suasana positif itu penting sebelum ia boleh dilanjutkan untuk perbincangan seterusnya.
“Saya ingin berterima kasih kepada ‘otai-otai’ yang datang berkunjung ke Kediaman Rasmi MB Kedah hari ini (semalam),” kata Ketua Pengarah Pilihan Raya Pas Pusat itu.
Ditanya sama ada terdapat sebarang permintaan dalam pertemuan itu, beliau berkata, ia belum sampai ke tahap tersebut kerana masih di peringkat awal.
“Kita berkongsi pengalaman masa lalu dan jangkaan masa depan. Tentunya ada susulan, bila di peringkat Pusat ada keputusan, kita akan bertemu balik,” katanya.
Sementara itu, Mahdzir berkata, pertemuan santai minum petang tersebut disifatkan sangat positif.
“Kunjungan ke Kediaman Rasmi MB Kedah untuk pertemuan secara tidak rasmi. Saya sifatkan pertemuan itu sangat mesra, positif dan hasilnya ada bayangan awal ke arah perbincangan yang lebih serius di peringkat lebih tinggi selepas ini,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Katanya, UMNO Kedah juga mendapat bayangan untuk meletakkan perundingan antara kedua-dua parti tersebut di meja rundingan sekiranya bergerak bersama dalam Pilihan Raya Umum Ke-16 nanti.
“Bagaimanapun kami tidak berbincang sebarang topik mengenai pembahagian kerusi pilihan raya kerana itu terlalu awal untuk dibincangkan. Lagipun pertemuan itu bukannya secara rasmi,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE














