KUANTAN – Seorang wanita terpaksa bergantung sepenuhnya kepada pendapatan sebanyak RM50 hingga RM70 sehari hasil jualan burger untuk menyara tiga anak selepas suaminya tidak lagi mampu bekerja.
Nurma Lissa Ruzalani, 35, berkata, kehidupan keluarganya berubah selepas suaminya, Kamal Ridzuan Mamat, 39, mengalami kecederaan parah pada kaki kanan akibat kemalangan ketika dalam perjalanan ke tempat kerja di Balok awal tahun lalu.
Menurutnya, sebelum kejadian, suaminya yang bekerja sebagai pemandu lori menanggung sepenuhnya keperluan keluarga, namun keadaan itu berubah apabila kecederaan yang dialami menyebabkan suaminya hilang kudrat untuk bekerja.
“Dulu memang suami hanya terlantar atas katil, sekarang sudah baik sedikit sebab dia sudah boleh bangun sendiri, namun masih tidak boleh bekerja,” katanya ketika ditemui di Taman Balok Makmur di sini, semalam.
Tambah Nurma Lissa, keadaan kewangan keluarga bertambah sukar apabila bayaran bulanan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) suaminya tertangguh selama dua bulan sejak Ogos lalu.
Jelasnya, kelewatan itu menyebabkan beberapa komitmen bulanan keluarga termasuk sewa rumah dan kereta tidak mampu dibayar.
Kamal Ridzuan berkata, laporan perubatan yang diperlukan bagi urusan bayaran Perkeso baru dihantar beberapa hari lalu selepas mengambil masa lebih sebulan untuk disediakan.
“Prosedur Perkeso memerlukan laporan perubatan setiap enam bulan dan jadi penyediaan laporan mengambil masa sebulan lebih menyebabkan bayaran tertangguh sementara,” katanya.
Kamal Ridzuan berkata, permohonan bantuan kepada Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (Muip) sebelum ini tidak diluluskan atas alasan dia bukan asnaf.
“Saya sudah menerima kad orang kurang upaya (OKU), manakala permohonan bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) masih dalam proses susulan,” katanya.
Orang ramai yang ingin membantu boleh menyalurkan sumbangan ke akaun Maybank 156094282680 atas nama Nurma Lissa Ruzalani.














