BERMULA sebagai mekanik motosikal, namun siapa sangka Muhammad Abdul Haziq Nasem Nooruddin, 23, mampu menggapai cita-cita lebih besar menerusi bidang penyelenggaraan pesawat.
Menurut pemuda yang mesra disapa Haziq itu, pada asalnya, dia hanya bercita-cita menjadi mekanik motosikal.
Namun, setelah melihat bakat besar yang dimiliki olehnya, ibu dan kakaknya menyarankan anak ketiga daripada empat beradik itu supaya menyambung pengajian bagi membaiki jentera lebih besar.
“Menyahut saranan keluarga yang melihat potensi besar dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), saya menyambung pengajian di peringkat Diploma Penyelenggaraan dan Teknologi Pesawat di Kolej Meatech.
“Alhamdulillah, kini sudah dua tahun saya bertugas sebagai juruteknik pesawat. Bidang ini memberi keseronokan dan kepuasan kepada saya.
“Antara skop tugas sebagai juruteknik pesawat adalah membaiki pesawat, menukar bahagian yang rosak dan melakukan pemeriksaan rutin.
“Ia bagi memastikan kapal terbang selamat untuk dinaiki oleh penumpang ataupun kargo,” cerita pemuda berasal dari Simpang Renggam, Johor itu.

Berkongsi keseronokan sebagai juruteknik pesawat, Haziq memberitahu, dia berasa puas melihat titik peluh selama berminggu-minggu untuk siapkan setiap tugasan.
“Tugas ini bukan mudah kerana kami perlu siapkan dalam tempoh masa singkat dan terdedah dengan bahaya. Namun perkara ini membuatkan saya rasa lagi seronok bekerja kerana dapat menguji kemampuan diri.
“Saya juga suka budaya kerja dalam bidang penerbangan (aviation), semua orang ada kemahiran tersendiri tetapi mereka sangat menyambut baik cara fikir orang lain tanpa prejudis.
“Selain itu, saya sangat sukakan persekitaran kerjanya yang positif.
“Kami diajar untuk bekerja dalam pasukan dan diterapkan nilai kerjasama,” katanya yang memasang impian untuk bergelar jurutera pesawat.

Ujar Haziq, setiap pekerjaan mempunyai cabaran tersendiri, begitu juga sebagai juruteknik pesawat.
“Kerja kami tidak selesa kerana perlu bekerja dalam keadaan panas, di tempat tinggi, perlu siapkan dalam masa singkat dan memerlukan kami berfikir dengan pantas serta berdepan pelbagai risiko bahaya.
“Namun, itu semua tidak menjadi halangan bagi saya kerana sangat meminati bidang ini. Ia membuatkan saya teruja untuk bekerja setiap hari.
“Untuk memastikan keselamatan sepanjang bekerja, kami perlu melalui prosedur keselamatan yang ketat,” tutur pemuda yang suka belajar benda baharu setiap hari.
Bercerita mengenai pengalaman yang tidak boleh dilupakan sepanjang dua tahun sebagai juruteknik pesawat, Haziq memberitahu, dia sangat teruja apabila pertama kali melihat pesawat di depan mata.
Katanya, dia tidak pernah menaiki kapal terbang atau berada sangat dekat dengan pesawat sebelum itu.
Sementara itu, ditanya mengenai persepsi masyarakat terhadap bidang TVET, Haziq berkata, orang sekarang sangat terbuka dan menyokong anak muda mendalami bidang tersebut.
“Orang yang mahir dengan kerja tangan sangat diperlukan, pengalaman sahaja tak cukup untuk menaik taraf diri. Sehubungan itu, kita perlu mengikuti sijil-sijil kemahiran yang disediakan kerana tanpanya, kita akan tersekat dan tidak boleh melebarkan sayap.
“Buat anak muda yang meminati bidang TVET, buat sahaja dan jangan pedulikan kata-kata negatif orang,” ujarnya.














