Pusat tersebut yang beroperasi 24 jam mampu melatih sehingga 860 juruterbang sehari serta menjalankan lebih 32,000 acara latihan setahun.

Pusat latihan juruterbang terbesar di dunia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

LATIHAN juruterbang semakin berubah seiring perkembangan teknologi penerbangan dengan penggunaan simulator berteknologi tinggi, persekitaran digital dan sistem latihan berasaskan data yang membolehkan pelbagai situasi penerbangan diuji dalam keadaan lebih selamat, terkawal dan hampir menyerupai pengalaman sebenar.

Sebuah kompleks di Denver, Colorado, Amerika Syarikat kini menjadi antara contoh terbesar bagaimana simulasi digital digunakan untuk menyediakan juruterbang menghadapi situasi penerbangan sebenar.
United Airlines baru-baru ini melengkapkan fasa pertama peluasan Flight Training Center miliknya yang kini digambarkan syarikat itu sebagai kemudahan latihan juruterbang terbesar di dunia.

Kompleks tersebut mempunyai hampir 700,000 kaki persegi (65,000 meter persegi) ruang latihan merentasi lapan bangunan, bersamaan kira-kira keluasan 12 padang bola sepak.

Terletak di kawasan Central Park, Denver, pusat latihan berkeluasan 22 ekar (9 hektar) itu bukan sekadar sebuah institusi pendidikan penerbangan konvensional.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif United, Scott Kirby, sebahagian besar operasi pusat latihan tersebut bergantung kepada teknologi simulasi yang membolehkan juruterbang berlatih menerbangkan pesawat tanpa perlu berada di udara.

“Selepas fasa pertama peluasan, pusat tersebut mempunyai 86 peranti latihan CAE, terdiri daripada 52 simulator penerbangan gerakan penuh atau full-motion flight simulators dan 34 peranti latihan tetap. Penambahan itu mewakili 40 peranti latihan baharu sejak 2022.

“Teknologi simulator penerbangan menjadi komponen penting kerana ia membolehkan pelbagai situasi penerbangan direka dan diulang dalam persekitaran terkawal,” katanya menerusi satu kenyataan yang diterbitkan di portal United.Com.

Tambahnya, daripada proses biasa seperti berlepas, mendarat dan mengendalikan sistem pesawat, latihan boleh diperluas kepada keadaan yang lebih mencabar dan jarang berlaku.

Juruterbang boleh berhadapan dengan kegagalan sistem, perubahan cuaca, masalah operasi atau situasi kecemasan tanpa mempertaruhkan keselamatan penumpang dan kru sebenar.

Laporan CBS News Colorado menyatakan bahawa United turut meningkatkan perisian simulasi supaya latihan dapat merangkumi pelbagai situasi yang mungkin berlaku ketika pesawat beroperasi.

Di sinilah nilai teknologi simulasi menjadi lebih jelas. Dalam penerbangan sebenar, peluang untuk mengulangi situasi kecemasan yang sama secara sengaja adalah sangat terhad. Simulator pula boleh menghasilkan semula keadaan tertentu berulang kali sehingga juruterbang membina tindak balas yang sesuai.

Kompleks Flight Training Center di Denver, Colorado, Amerika Syarikat mempunyai ruang latihan kira-kira 12 padang bola sepak.

Persekitaran ini membolehkan latihan bukan sahaja menilai kemahiran teknikal tetapi juga membuat keputusan, komunikasi dan koordinasi antara kru ketika berdepan tekanan.

Kata Kirby lagi, skala pusat latihan Denver turut menunjukkan bagaimana latihan penerbangan kini semakin menyerupai operasi berasaskan data dan teknologi.

“Kemudahan itu mampu melatih sehingga 860 juruterbang sehari serta menjalankan lebih 32,000 acara latihan setahun.

“Pusat berkenaan beroperasi 24 jam sehari selama 362 hari setahun dan menjadi lokasi latihan utama untuk hampir 18,000 juruterbang aktif syarikat itu serta semua juruterbang baharu,” ujarnya.

Angka tersebut memberikan gambaran bahawa latihan juruterbang moden bukan lagi proses yang berlaku hanya ketika seseorang mahu mendapatkan lesen penerbangan.

Bagi juruterbang komersial, latihan berterusan merupakan sebahagian daripada kehidupan profesional.

Juruterbang perlu menjalani latihan berkala bagi memastikan pengetahuan, kemahiran mengendalikan pesawat serta tindak balas terhadap situasi luar biasa kekal pada tahap yang diperlukan.

United menyatakan semua juruterbangnya menjalani latihan simulator ketika proses kelayakan awal dan setiap sembilan bulan selepas itu.

Perkembangan ini juga berkait rapat dengan perubahan besar dalam industri penerbangan global.

Peralatan dan teknologi yang digunakan turut dipertingkat dengan perisian simulasi terkini.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Canadian Aviation Electronics (CAE), Matthew Bromberg turut berkongsi, pertumbuhan jumlah pesawat, pembukaan laluan baharu dan peningkatan permintaan perjalanan udara membawa kepada keperluan tenaga kerja penerbangan yang lebih besar.

Dalam laporan terbaharu yang dipetik media penerbangan, Boeing menganggarkan industri penerbangan komersial global memerlukan kira-kira 674,000 juruterbang baharu dalam tempoh 20 tahun akan datang.

Keperluan tersebut menjadikan kapasiti latihan antara faktor penting dalam memastikan pertumbuhan penerbangan dapat disokong oleh tenaga kerja yang mencukupi.

“Membina lebih banyak simulator bukan semata-mata soal menambah kapasiti. Ia juga menunjukkan perubahan dalam cara teknologi digunakan untuk mengurus risiko.

“Simulator memberikan peluang kepada pengajar dan pemeriksa untuk melihat bagaimana juruterbang bertindak dalam keadaan yang boleh direka secara tepat,” kongsi Bromberg.

Ujarnya lagi, setiap sesi latihan boleh distrukturkan berdasarkan objektif tertentu, manakala prestasi boleh dinilai selepas simulasi selesai.

Pendekatan sebegini menjadikan latihan lebih sistematik berbanding bergantung sepenuhnya kepada pengalaman penerbangan sebenar.

Kerjasama dengan syarikat teknologi simulasi seperti CAE turut memperlihatkan semakin pentingnya industri teknologi dalam ekosistem penerbangan.

Peranti latihan tetap dan simulator gerakan penuh mempunyai fungsi berbeza, membolehkan latihan disesuaikan mengikut jenis kemahiran yang perlu dibangunkan.

Jelas Bromberg lagi, simulator gerakan penuh pula direka untuk memberikan pengalaman yang lebih hampir kepada penerbangan sebenar dengan menggabungkan visual, kawalan kokpit dan pergerakan fizikal.

“Peluasan pusat latihan Denver belum berakhir. United merancang fasa kedua yang dijangka bermula pada 2027 dan beroperasi sekitar 2030.

“Fasa seterusnya akan dibangunkan di atas tanah tambahan berhampiran Denver International Airport, membolehkan kapasiti latihan terus diperluaskan,” katanya.

Perkembangan ini memperlihatkan satu hakikat penting dalam masa depan penerbangan iaitu semakin canggih pesawat, semakin penting pula teknologi untuk melatih manusia yang mengendalikannya.

Kokpit moden dipenuhi sistem digital, automasi dan peralatan elektronik yang kompleks tetapi keputusan akhir dalam banyak keadaan masih memerlukan pertimbangan manusia.

Justeru, simulator bukan sekadar alat untuk mengajar seseorang menerbangkan pesawat, sebaliknya menjadi persekitaran digital untuk menguji kemampuan manusia berinteraksi dengan teknologi dalam keadaan biasa dan luar biasa.

Dengan hampir 700,000 kaki persegi ruang latihan dan puluhan simulator berteknologi tinggi, pusat latihan di Denver menggambarkan skala baharu pendidikan penerbangan.

Ia juga menjadi contoh bagaimana industri penerbangan menggunakan teknologi simulasi untuk menangani dua cabaran serentak, meningkatkan kapasiti latihan dan memastikan juruterbang bersedia menghadapi situasi yang tidak semestinya boleh dipelajari melalui penerbangan sebenar.

Dalam era apabila permintaan perjalanan udara terus berkembang, ‘langit’ untuk latihan juruterbang mungkin semakin banyak diwujudkan bukan di udara, tetapi di dalam dunia simulasi digital.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN