TAPAH – Seorang lelaki cedera selepas ditembak dua individu dalam kejadian di sebuah stesen minyak di Bidor Sentral, Bidor di sini petang semalam.
Ketua Polis Perak, Datuk Mohd. Alwi Zainal Abidin berkata, kejadian pada pukul 6.08 petang itu berlaku ketika lelaki tempatan berusia 41 tahun tersebut yang menaiki kenderaan jenis Toyota Land Cruiser berhenti untuk mengisi minyak.
“Siasatan awal mendapati sebuah kereta jenis Honda City berwarna hitam yang datang dari arah pekan Bidor berhenti di hadapan kenderaan mangsa.
“Dua lelaki bersenjatakan senjata api keluar dari kereta dan melepaskan beberapa das tembakan ke arah kenderaan mangsa sebelum beredar,” katanya di sini hari ini.
Ekoran kejadian itu, mangsa terkena satu das tembakan di bahagian bahu kiri.
Mohd. Alwi berkata, sewaktu kejadian, terdapat lima individu di dalam Toyota Land Cruiser tersebut, namun kesemua mereka tidak mengalami kecederaan.
Katanya, mangsa menerima rawatan di Hospital Tapah sebelum dipindahkan ke Hospital Raja Permaisuri Bainun dan keadaannya dilaporkan stabil.
“Pemeriksaan di lokasi kejadian oleh pasukan forensik menjumpai satu peluru 9 mililiter (mm) Luger, empat kelongsong peluru 9mm Luger serta serpihan anak peluru.
“Pemeriksaan lanjut terhadap kenderaan mangsa turut menemukan beberapa serpihan anak peluru dan kesan tembakan,” katanya.
Mohd. Alwi berkata, siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti suspek yang terlibat serta motif kejadian.
“Pasukan penyiasat sedang mendapatkan rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) di beberapa lokasi termasuk laluan sekitar Bidor serta plaza tol yang dikenal pasti bagi membantu siasatan,” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan dan Seksyen 3(1) Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971.
Polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian supaya tampil bagi membantu siasatan,” katanya.
Tambahnya, polis memandang serius kejadian melibatkan penggunaan senjata api dan akan menjalankan siasatan secara menyeluruh bagi mengenal pasti serta mengambil tindakan terhadap pihak yang terlibat. – KOSMO! ONLINE














