World #QuranHour himpunkan umat Islam melalui al-Quran

Iklan
Antara peserta mengambil bahagian dalam Program World #QuranHour 2026 di Masjid Sultan Ahmad Shah, UIAM, Gombak pada Rabu.

GOMBAK –World #QuranHour membawa mesej yang jauh amat besar apabila mengingatkan umat Islam supaya kembali menjadikan kitab suci itu sebagai panduan hidup dan penyatuan umat walaupun berlangsung hanya selama satu jam.

Qari terkenal, Ustaz Tirmizi Ali berkata, program tersebut juga mencatat satu sejarah tersendiri kerana bersifat global dengan konsep menghimpunkan umat Islam bersama al-Quran.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, al-Quran merupakan satu-satunya kitab yang bukan sahaja memberi kemuliaan kepada manusia di akhirat, malah turut menjadi panduan terbaik untuk kehidupan di dunia.

"Program bersama dengan al-Quran itu berlangsung satu jam, tetapi mesej yang hendak disampaikan bukanlah mesej yang bersifat satu jam tetapi mesej untuk umat.

Iklan

"Al-Quran ini dapat menyatukan kita daripada pelbagai perselisihan yang ada," katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata demikian ketika hadir sebagai qari pada program World #QuranHour 2026 di Masjid Sultan Ahmad Shah, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) di sini pada Rabu.

Iklan

Justeru, Tirmizi berpandangan, apabila umat Islam berada dalam bulan Ramadan, mereka seharusnya lebih menghargai al-Quran kerana ALLAH SWT menegaskan bahawa kitab suci itu merupakan petunjuk kepada manusia.

Mengulas mengenai pemilihan Surah al-Muzzammil dibacakan dalam program tersebut, beliau berkata, ia membawa mesej untuk mengejutkan umat Islam bagi mendekatkan diri kepada ALLAH SWT.

"Kekuatan itu akan dapat kepada umat apabila dia bangun pada malam apabila kita bersendirian dengan ALLAH SWT.

"Kekuatan itu juga akan menjadikan seorang Muslim mampu bekerja pada siang hari, membantu masyarakat dan memberi manfaat kepada manusia," ujarnya lagi.

Dalam masa sama, beliau menyifatkan program World #QuranHour sebagai satu usaha penting untuk mendekatkan umat Islam dengan al-Quran.

Menurutnya, al-Quran bukan hanya memberi manfaat kepada umat Islam, malah orang bukan Islam sekali pun boleh mendapat manfaat sekiranya mengambil panduan daripada kitab suci tersebut.

Justeru, beliau berharap program seumpama itu dapat diteruskan pada masa hadapan kerana banyak masjid di Malaysia kini giat menghidupkan program berkaitan al-Quran.