ARUS dunia hari ini bergerak deras, melangkaui batas yang suatu ketika dahulu dijaga rapi oleh nilai dan norma masyarakat.
Apa yang dahulu dianggap tabu, kini dipersembahkan sebagai simbol keberanian dan apa yang dahulu disorok, kini diangkat sebagai ekspresi diri.
Namun, di celah kebebasan yang semakin diraikan itu, timbul satu persoalan besar, apakah semua yang mampu kita lakukan itu wajar untuk dibuat dan dipertontonkan?
Apabila sesuatu yang jelas ditegah oleh agama dipaparkan secara terbuka, dihiasi dengan naratif yang menyentuh emosi dan disambut dengan simpati tanpa panduan, maka ia tidak lagi sekadar tindakan individu.
Ia perlahan-lahan membentuk satu persepsi baharu bahawa yang salah itu boleh diterima, asalkan ada cerita di sebaliknya. Di sinilah bahaya normalisasi dosa bermula.
Jelas, haram bertatu
Islam tidak meninggalkan ruang kekeliruan dalam isu tatu. Hukumnya jelas, tegas dan tidak berselindung. Sabda Rasulullah SAW: “ALLAH melaknat perempuan yang membuat tatu dan yang meminta dibuatkan tatu.” (Hadis Riwayat Al-Bukhari dan Muslim)
Perkataan laknat bukan sekadar larangan biasa, ia menggambarkan kemurkaan dan penolakan terhadap perbuatan tersebut.
Mengapa tatu diharamkan? Ini kerana ia melibatkan perubahan kekal terhadap ciptaan ALLAH SWT. Firman-NYA: “Dan sesungguhnya aku akan menyuruh mereka (mengubah ciptaan ALLAH), lalu mereka benar-benar mengubahnya.” (Surah al-Nisa’: 119)
Ayat ini menjadi asas kepada larangan mengubah fitrah kejadian manusia tanpa keperluan yang dibenarkan syarak.
Tatu bukan sekadar hiasan luaran tetapi satu bentuk intervensi kekal terhadap tubuh yang sebenarnya bukan milik mutlak kita, tetapi amanah daripada ALLAH.
Namun, dalam kita berbicara tentang hukum, kita juga perlu jujur melihat realiti manusia. Tidak semua yang tersasar itu berniat untuk menentang agama.
Ada yang sebenarnya sedang berperang dengan dirinya sendiri dalam mencari makna, mencari ketenangan atau sekadar ingin melepaskan beban yang tidak mampu ditanggung sendirian.
Sebahagian melihat tatu sebagai simbol kekuatan. Ada yang menjadikannya sebagai tanda kepada luka yang pernah dilalui. Bahkan ada yang menganggapnya sebagai satu bentuk healing proses menyembuhkan diri daripada trauma.
Islam tidak pernah menolak hakikat bahawa manusia boleh terluka. Islam mengiktiraf kesedihan, tekanan, bahkan kejatuhan. Namun Islam juga memberikan jalan yang benar untuk bangkit.
Apa yang lebih membimbangkan dalam isu ini ialah cara ia dipersembahkan kepada masyarakat.
Beza empati dan kompromi
Apabila sesuatu yang salah dihias dengan estetika, disampaikan dengan cerita yang menyentuh perasaan dan diterima tanpa penegasan terhadap hukum, maka ia boleh mengaburi garis antara benar dan salah.
Di sinilah kita perlu membezakan antara empati dan kompromi. Empati mengajar kita untuk memahami tetapi bukan untuk menghalalkan.
Kasih sayang tidak bermaksud membiarkan seseorang terus hanyut dalam kesilapan. Sebaliknya, kasih sayang yang sebenar ialah membimbing, walaupun pahit untuk didengar.
Rasulullah SAW adalah contoh terbaik dalam keseimbangan ini dengan lembut dalam pendekatan tetapi tidak pernah menggadaikan prinsip. Baginda memahami manusia tetapi tidak pernah menghalalkan apa yang telah diharamkan oleh ALLAH.
Fenomena ini juga mencerminkan satu krisis yang lebih besar dalam masyarakat melalui krisis jiwa dan krisis hubungan dengan Tuhan. Apabila hati semakin jauh daripada nilai ketuhanan, manusia akan mencari pengisian di tempat lain.
Malangnya, tidak semua yang ditemui itu membawa kepada kebenaran. Tatu mungkin kelihatan kecil pada pandangan mata zahir kita, ia sekadar lukisan pada kulit. Namun hakikatnya, ia membawa simbol yang lebih besar tentang bagaimana manusia memahami dirinya.
Mungkin dalam usaha untuk sembuh, kita tidak memerlukan dakwat yang kekal di kulit tetapi taubat yang hidup di hati sebagai dakwat kekal dalam mengukir rasa cinta pada Ilahi kerana pada akhirnya, yang menyembuhkan bukanlah manusia, bukan juga lukisan pada tubuh tetapi ALLAH SWT Tuhan yang mencipta, memahami dan menerima setiap hamba yang kembali kepada-NYA.
***USTAZ KAMARUL AZUAN SHAH MOHD MASHUTI merupakan Guru Bidang Bahasa & Pengajian Islam, Sekolah Menengah Tahfiz Darul Ridzuan Lenggong, Perak