PAGI-PAGI di bandar besar terutamanya di ibu kota, drama yang sama berulang; enjin dihidupkan seawal Subuh, tetapi tubuh masih tersangkut dalam barisan kenderaan yang bergerak setapak demi setapak.
Begitulah rutin warga kota yang seolah-olah sudah berdamai dengan kesesakan. Merak Jalanan terfikir, sampai bila kita mahu anggap masalah ini perkara biasa?
Sebab itu persoalan bekerja dari rumah (BDR) wajar dibincangkan semula secara serius.
Ketika pandemik dahulu ramai yang skeptikal, kononnya pekerja akan culas, produktiviti merosot dan urusan syarikat terganggu, namun selepas beberapa tahun berlalu, terbukti banyak sektor beroperasi dengan baik melalui kaedah hibrid atau BDR.
Jika sebahagian pekerja tidak perlu hadir ke pejabat setiap hari, jumlah kenderaan di jalan raya pasti berkurang. Walaupun hanya 10 atau 20 peratus pengguna jalan raya berkurang pada waktu puncak, kesannya besar terhadap kelancaran trafik.
Bukan itu sahaja, pekerja juga dapat menjimatkan masa, minyak dan tenaga. Bayangkan dua jam sehari biasanya habis di jalan raya boleh digunakan untuk urusan kerja, meningkatkan kemahiran diri, berehat atau bersama keluarga. Tekanan mental juga mungkin boleh berkurang apabila tidak perlu bergelut dengan hon atau asap setiap pagi.
Namun Merak Jalanan sedar, bukan semua pekerjaan sesuai dilakukan dari rumah. Maka cadangan ini bukan untuk semua, tetapi untuk sektor yang benar-benar sesuai.
Bermula esok sebahagian sektor perkhidmatan awam akan memulakan BDR, kita boleh lihat sendiri apakah ia berkesan untuk mengurangkan kesesakan jalan raya ini atau sebaliknya?