SHAH ALAM - Persepsi masyarakat terhadap tahap rasuah di negara ini dilihat semakin membimbangkan meskipun pelbagai usaha telah dilakukan.
Pengerusi Pertubuhan Pembangunan Antarabangsa dan Penyelidikan Untuk Kelestarian (IDRIS), Datuk Nizam Mahshar berkata, cabaran utama ketika ini ialah kekeliruan rakyat dalam membezakan antara retorik dan realiti sebenar usaha kerajaan menangani rasuah.
Menurutnya, masyarakat hari ini juga keliru antara apa diumumkan dan apa yang benar-benar berlaku.
"Memang kita lihat ada tangkapan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melibatkan individu berprofil tinggi, tetapi persoalan besar adalah apa tindakan seterusnya.
"Penangkapan semata-mata tidak mencukupi sekiranya tidak disusuli dengan pendakwaan dan tindakan tegas yang jelas.
"Ketiadaan perkembangan lanjut terhadap kes-kes berprofil tinggi menyebabkan rakyat terus tertanya-tanya dan hilang keyakinan.
“Bila kes besar timbul, ia menjadi perhatian tetapi selepas itu senyap. Rakyat mahu tahu, adakah mereka didakwa? Apa hasil siasatan? Tanpa jawapan, persepsi negatif akan terus terbentuk,” kataya kepada Rasuah Busters pada Rabu.
Nizam turut menyifatkan isu tersebut sebagai cabaran besar bukan sahaja kepada kerajaan tetapi masyarakat sivil, akademia dan sektor perniagaan.
Tambahnya, persepsi tentang rasuah semakin buruk boleh memberi kesan langsung kepada keyakinan pelabur terhadap negara.
“Pelabur akan ragu jika mereka melihat tadbir urus tidak jelas. Ia memberi gambaran bahawa Malaysia bukan persekitaran ekonomi yang selamat dan telus,” jelas beliau.
Lebih membimbangkan, kata beliau, apabila persepsi berkenaan mula menormalisasikan amalan tidak berintegriti dalam kalangan rakyat termasuk dalam urusan perniagaan dan perkhidmatan.
Beliau juga menegaskan usaha memerangi rasuah perlu bermula dari peringkat tertinggi kepimpinan dan diterjemahkan secara menyeluruh hingga ke peringkat pelaksana.
“Bila rakyat mula percaya bahawa untuk berurusan dengan kerajaan atau mendapatkan projek, mereka perlu ‘potong jalan’ atau memberi imbuhan, itu satu isyarat yang sangat berbahaya kepada masa depan negara.
“Perubahan mesti datang dari atas. Kepimpinan perlu menunjukkan contoh integriti yang jelas.
"Bila itu berlaku, barulah rakyat khususnya generasi muda akan melihat integriti sebagai satu pilihan yang wajib, bukan pilihan sampingan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan harapan rakyat terhadap agenda reformasi institusi masih tinggi khususnya dalam aspek ketelusan, akauntabiliti dan tadbir urus yang baik.
“Rakyat menaruh harapan besar bahawa isu rasuah akan ditangani secara serius.
"Kita tidak boleh menerima rasuah sebagai norma. Ia mesti ditolak sepenuhnya demi masa depan negara,” tegasnya.