UMAT Islam kini berada di penghujung bulan Syawal iaitu bulan kemenangan setelah melalui madrasah Ramadan yang penuh dengan tarbiah iman dan takwa.
Dalam bulan Ramadan, kita begitu menjaga setiap suapan, berbuka dengan makanan yang halal lagi baik, bangun sahur dengan penuh disiplin, bahkan berjaya menahan diri daripada perkara-perkara yang syubhah.
Persoalannya, apakah semangat itu kita teruskan selepas Ramadan? Atau kembali longgar dalam memilih apa yang masuk ke dalam tubuh kita?
“Hakikatnya, apa yang masuk ke dalam tubuh kita hari ini akan membentuk siapa kita pada esoknya.
Menurut JHEAIPP, Imam Ar-Razi menegaskan, ALLAH SWT mendahulukan makanan yang halal lagi baik daripada melakukan amalan soleh.
“Ini memberi petanda kepada manusia bahawa pengambilan makanan yang halal lagi baik memudahkan manusia melakukan amalan soleh.
“Pengambilan makanan yang haram dan syubhah pula memberatkan tubuh badan dalam melakukan amal ibadah,” katanya.
Ambil berat halal haram
Sambung khatib, hari ini ada umat Islam yang mengambil ringan soal halal haram dan syubhah dalam makanan.
Ujarnya, sebahagian daripada kita tidak merasa segan silu makan di restoran bukan Islam yang tidak mempunyai logo halal.
“Asalkan restoran itu memaparkan tanda No Pork atau Pork Free, mereka tetap masuk bagi menikmati masakan di situ.
Tambah JHEAIPP, ada juga restoran yang menggunakan proksi selebriti untuk mengaburi pelanggan.
“Walaupun bahan utamanya dari sumber yang halal, namun pernahkan kita terfikir kemungkinan wujudnya elemen-elemen syubhah dalam penyediaannya?
“Adakah kita yakin semua bahan yang digunakan benar-benar suci dan halal serta bebas daripada pencemaran bahan haram?” soalnya.
Ujarnya, satu kajian yang dijalankan sebuah universiti tempatan di Malaysia mendapati antara perkara syubhah yang berlaku di sebahagian restoran bukan Islam yang tiada logo halal Jakim ialah:
1 - Penggunaan arak dalam masakan.
2 - Penggunaan sos, kicap dan minyak masak tanpa sijil halal yang diimport daripada luar negara.
3 - Pekerja bukan Islam membawa masuk makanan tidak halal ke dalam premis restoran, lalu bekas makanan tersebut dibasuh bersama dengan pinggan mangkuk restoran.
4 - Penggunaan peralatan daripada sumber haiwan seperti berus makanan dan penapis air dari sumber tulang haiwan.
Rasulullah, ulama sangat berhati-hati
Jelas khatib, menjauhi makanan syubhah merupakan suatu tuntutan ke atas setiap umat Islam dan merupakan sunnnah Rasulullah SAW.
Sambungnya, suatu ketika Baginda menemui sebutir kurma yang jatuh di tengah jalan lalu Baginda bersabda: “Jika tidak kerana aku takut bahawa kurma ini daripada kurma zakat, nescaya aku akan memakannya.” (Hadis Riwayat Al-Bukhari)
“Ambillah iktibar daripada kisah para ulama silam yang sangat menjauhi makanan syubhah.
Imam Abu Hanifah pula katanya, pernah dia menolak makanan yang sudah dimasak isterinya kerana khuatir ada sedikit saja bahan haram tercampur.
“Imam Malik juga pernah menolak anggur yang diberikan kepadanya kerana khuatir anggur tersebut berasal dari kebun yang tidak jelas status pemilikannya.
“Imam Ahmad bin Hanbal pula pernah menolak daging kambing yang diberikan kepadanya kerana khuatir kambing tersebut disembelih dengan cara yang tidak benar,” katanya.
Jangan mudah tergoda dengan nikmat dunia hingga kita menggadaikan akhirat, ujarnya.
Khatib kemudiannya melontarkan persoalan, apakah kita sanggup membiarkan setiap suapan ke mulut kita menjadi asbab untuk dilemparkan ke dalam neraka?
“Bagaimana pula nasib anak-anak dan keluarga kita jika makanan mereka bersumberkan yang syubhah atau haram?
“Alangkah sedihnya jika kita sebagai ketua keluarga menjadi punca dengan membawa makanan syubhah tersebut kepada mereka,” jelasnya.