KONONNYA dunia kini di hujung jari, namun realitinya, tanpa kita sedari, segelintir pihak jauh lebih cekap menyalahgunakan teknologi.
Merak Jalanan melihat masyarakat kini seolah-olah ketagih merakam dan menyebarkan apa sahaja demi mengejar views meskipun jelas ada situasi yang tidak wajar dipertontonkan kepada umum.
Contohnya, kes kecurangan pasangan yang sudah seperti drama berulang hanya pelakunya yang silih berganti.
Dulu kalau nampak sesuatu kejadian berlaku, kita fikir dulu, sekarang jari lebih laju tekan butang rekod. Maka, lahirlah ramai ‘wartawan segera’ yang mana masing-masing ghairah merakam tanpa pedulikan etika dan batas.
Masalahnya, telefon bimbit dekat tangan tu bukan sekadar alat, kadang ia boleh jadi ‘senjata’. Bagi Merak Jalanan, satu video dah cukup untuk malukan dan jatuhkan maruah orang.
Itu belum lagi tuan badan yang rakam untuk sebar aib sendiri demi perhatian tanpa fikir kesannya pada masa akan datang. Mungkin bagi mereka hanya ‘content biasa’ asalkan dapat views yang tinggi.
Lebih haru kalau video yang tular boleh heret individu ke mahkamah. Tak pasal-pasal jadi penghuni tirai besi.
Bila dah viral, cerita sebenar boleh disalah tafsir dan mengundang fitnah. Sudahnya, platform media sosial pula jadi tempat warganet ‘berperang’ di ruangan komen.
Tapi dalam masa yang sama, bukan semua rakaman 'wartawan amatur' tu salah. Ada situasi memang perlu dirakam untuk dijadikan bukti, buat aduan atau lindungi mangsa.
Tak semua benda kena kongsi dan tak rugi pun kalau tak viral. Apa yang memudaratkan bila harga diri jadi korban demi populariti selama beberapa saat. Kita sering terlupa maruah dan privasi sesuatu yang tidak ternilai.