MELAKA - Polis menerima lima laporan berhubung tindakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Udang, Dr Mohd Aleef Yusof menggunakan pelekat anjing pada imej Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya Negeri Melaka, Datuk Abdul Razak Abdul Rahman yang dikongsikan di Facebook pada Rabu.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, laporan tersebut diterima setakat jam 4 petang ini.
“Pihak PDRM mengesahkan sebanyak lima laporan polis telah dibuat setakat ini berkaitan kes berkenaan. Kes masih dalam siasatan,” katanya ringkas kepada pemberita pada Khamis.
Difahamkan, Abdul Razak membuat laporan di Balai Polis Kandang pada pagi Khamis berhubung hantaran yang didakwa memaparkan imej tidak wajar terhadap dirinya.
Terdahulu, Mohd Aleef menerusi hantaran di Facebook memaklumkan insiden berkenaan berlaku ketika sesi persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Rabu ketika beliau mengemukakan soalan tambahan berhubung tarikh operasi semula projek ‘floating market’ yang didakwa telah ditutup selama setahun.
Beliau mendakwa soalan tersebut tidak dijawab secara jelas, sebaliknya mencetuskan ketegangan sehingga berlaku pertikaman lidah.
“Soalan tambahan saya mudah sahaja, bilakah ‘floating market’ akan mula beroperasi selepas ditutup setahun?
“Simple, easy! Dia tak boleh jawab. Yang dia jawab, Sungai Udang faham tak ini projek rintis. Saya cakap, saya faham semua jawapan dia. Dia provoke saya, yang kelam-kabut ini kenapa? Saya tegas, saya cakap jawab soalan saya.
“Maka YB UMNO pun ramai-ramai menyibuk dan mulakan kekecohan. Saya bertegas dan menjerit minta jawab soalan serta meminta Speaker uruskan. Dia cakap yang bukan-bukan, yang bukan jawapan dan lari daripada konteks persoalan yang saya bangkitkan,” katanya.
Dalam hantaran sama, beliau turut mengkritik kemampuan pihak berkenaan menjawab soalan yang dikemukakan.
“YB Telok Mas tidak membuat persediaan! Tidak boleh jawab soalan mudah! Cakap bukan-bukan. Provoke Sungai Udang.
“Bila kena jerit dan dimarahi, buat video TikTok. Awak buat saya, saya juga boleh buat awak. Kalau tidak boleh jawab soalan tidak perlu jadi Exco!” kongsinya.
Tindakan Mohd Aleef turut menarik perhatian Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsudin yang menegur perbuatan itu sebagai tidak sopan.
“Dalam banyak-banyak pelekat, kenapa pelekat itu juga yang menjadi pilihan?
“Ini satu tindakan yang tidak mencerminkan adab kita sebagai orang Islam dan Melayu, lebih-lebih lagi adab sebagai seorang wakil rakyat,” tulisnya menerusi hantaran di Facebook.