HARI Pekerja datang lagi. Seperti biasa, pastinya ramai yang terus teringat satu perkara sahaja, cuti! Tapi di sebalik peluang bangun lambat dan rehat tanpa rasa bersalah, ada cerita lebih besar tentang dunia pekerjaan kita hari ini.
Realitinya, dunia kerja sekarang sudah jauh berubah. Kalau dulu kerja '9 pagi hingga 5 petang' dianggap normal, namun hari ini lebih fleksibel atau dalam sesetengah kes, lebih tidak menentu.
Dari sudut pekerja, cabaran paling ketara sekarang ialah kos sara hidup yang boleh dikatakan meningkat saban tahun. Walaupun kadar penyertaan tenaga buruh di Malaysia kekal melebihi 70 peratus, tapi ramai masih rasa 'cukup makan' itu pun belum tentu cukup.
Gaji minimum RM1,700 satu langkah penting, tapi bagi yang tinggal di bandar besar, angka itu kadang-kadang terasa seperti 'cukup-cukup untuk bertahan, bukan untuk hidup selesa'.
Kemudian muncul pula fenomena ekonomi gig. Nampak macam menarik, kerja fleksibel, tiada bos memerhati 24 jam. Tapi hakikatnya, lebih sejuta rakyat Malaysia yang terlibat dalam sektor ini berdepan realiti berbeza.
Mereka tiada jaminan pendapatan tetap, perlindungan sosial pula terhad. Hari ini ada pendapatan, esok belum tentu. Jadi, fleksibiliti itu datang dengan harga yang agak mahal.
Majikan pula bukan duduk senang. Dalam era globalisasi, syarikat tempatan kini bersaing bukan sahaja dengan jiran sebelah pejabat tetapi juga dengan syarikat dari negara lain. Tekanan untuk kekal relevan membuatkan banyak organisasi mula beralih kepada automasi dan teknologi.
Di sinilah timbul dilema klasik, mesin boleh buat kerja lebih cepat, tapi bagaimana dengan manusia? Takkan semua nak ganti dengan robot. Sebab itu kita lihat semakin banyak syarikat mula melabur dalam latihan semula dan peningkatan kemahiran pekerja. Mudah kata, daripada buang pekerja, lebih baik upgrade mereka.
Menariknya, pekerja hari ini semakin berani membuat pilihan. Kalau dulu orang takut berhenti kerja, sekarang ramai yang berani cari peluang lebih baik jika rasa tidak dihargai lebih-lebih lagi bila banyak 'toksik' dalam pejabat.
Sememangnya faktor seperti keseimbangan hidup, suasana kerja dan fleksibiliti kini sama penting dengan gaji. Jadi jika ada majikan yang tak peka, memang berisiko kehilangan bakat terbaik lah jawabnya.
Kerajaan pula berada di tengah-tengah, macam pengadil perlawanan yang perlu pastikan semua main ikut peraturan baik majikan mahupun pekerja. Pelbagai usaha telah dilakukan, termasuk memperkasa TVET, pindaan undang-undang buruh dan cadangan model gaji progresif.
Menjelang Hari Pekerja 2026, fokus semakin jelas lindungi pekerja gig, tambah baik jaringan keselamatan sosial dan atasi isu skills mismatch. Ini penting sebab masih ramai graduan ada sijil, tapi kemahiran tak sepadan kehendak industri. Akhirnya, majikan pening, graduan pun pening.
Kesimpulannya, dunia pekerjaan hari ini ibarat permainan yang levelnya makin naik. Pekerja kena sentiasa upgrade skill, majikan pula kena bijak urus sumber manusia dan teknologi manakala kerajaan perlu pantas sesuaikan dasar.
Hari Pekerja jadi momen terbaik untuk kita fikir semua ini. Bukan sekadar tanya, 'esok cuti nak buat apa?', tapi juga 'ke mana arah dunia kerja kita?'
Kalau semua pihak bergerak seiring, cabaran globalisasi ini bukan ancaman. Sebaliknya, ia peluang bina eko sistem pekerjaan lebih adil, moden dan tahan lasak.
Walaupun Hari Pekerja mungkin kita hanya cuti sehari tetapi realiti dunia kerja tidak pernah berhenti. Tekanan, cabaran dan tuntutan kerja akan tetap menunggu keesokan hari, sama ada kita bersedia atau tidak.
Apa pun realitinya, kita tetap ada pilihan sama ada untuk terus berada di takuk lama atau berani berubah. Kerana dalam dunia kerja hari ini, siapa yang lambat menyesuaikan diri, dialah yang akan ketinggalan. Selamat Hari Pekerja!
*Zubir Sulaiman ialah Sub Editor Sinar Harian