Festival Hiburan Air Melaka tiada bantahan, Akmal jangan selektif - Dr Sathia

Iklan
Dr Sathia Prakash

SHAH ALAM - Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor mempersoalkan pendirian tidak konsisten Pemuda UMNO Malaysia dalam membantah program festival muzik air yang dianjurkan Kerajaan Madani baru-baru ini.

Pengarah Jabatan Pilihan Raya PKR Selangor, Dr Sathia Prakash menegaskan, sikap konsisten dalam menyatakan mana-mana pendirian politik, khususnya apabila melibatkan isu yang menyentuh sensitiviti awam sepatutnya tidak boleh dikompromi.

Iklan
Iklan

Menurut beliau, tindakan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhammad Akmal Saleh yang sebelum ini secara terbuka menggesa pembatalan festival Rain Rave di Bukit Bintang mencerminkan satu pendirian jelas mengenai kesesuaian sesuatu acara.

“Persoalan yang timbul adalah mudah. Jika acara seperti itu dianggap tidak sesuai di Kuala Lumpur, mengapa pendekatan yang sama tidak diambil apabila acara hampir serupa berlangsung di Melaka bermula hari ini 1 Mei?” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Iklan

Dr Sathia berkata, penganjuran Melaka Water Music Festival di Pantai Klebang dari 1 hingga 3 Mei dilihat menampilkan elemen yang tidak jauh berbeza, termasuk persembahan muzik, budaya, makanan serta aktiviti komuniti dan hiburan.

“Bezanya hanya lokasi, bukan pengisian,” katanya.

Iklan

Beliau yang juga Ketua PKR Cabang Hulu Selangor menegaskan, isu sebenar bukan terletak pada penganjuran festival berkenaan, sebaliknya pada prinsip digunakan dalam membuat penilaian.

“Adakah sesuatu itu salah hanya apabila ia berlaku di tempat tertentu atau prinsip itu sepatutnya kekal sama tanpa mengira lokasi?” soalnya.

Tambah beliau, keadaan menjadi lebih signifikan apabila individu yang lantang mengkritik turut berada dalam kedudukan pentadbiran negeri, sekali gus membuka ruang kepada rakyat untuk menilai tahap konsistensi pendirian.

“Jika berani mendesak pembatalan di satu tempat, maka harus berani mengambil pendirian yang sama di tempat lain.

“Jika tidak, ia bukan lagi soal prinsip tetapi soal persepsi dan persepsi itu jelas, iaitu selektif,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menegaskan kenyataan tersebut bukan bertujuan menyerang mana-mana pihak, sebaliknya sebagai peringatan bahawa rakyat kini semakin peka dan kritikal dalam menilai tindakan pemimpin.

“Kredibiliti tidak dibina melalui kenyataan yang kuat dalam satu isu sahaja, tetapi melalui konsistensi dalam semua keadaan.

“Akhirnya, rakyat tidak menuntut kesempurnaan, tetapi keadilan. Dan keadilan itu bermula dengan satu perkara asas — jangan selektif,” katanya.