SEKOLAH sepatutnya menjadi ruang paling selamat untuk anak-anak belajar, berkembang dan membina masa depan. Namun, apabila tempat yang sepatutnya menjadi benteng perlindungan bertukar menjadi lokasi berlakunya amang seksual, persoalan yang timbul bukan lagi sekadar mengenai salah laku individu.
Ia menyentuh soal amanah, integriti profesion perguruan dan sejauh mana sistem pendidikan benar-benar mampu melindungi murid yang berada di bawah jagaannya.
Guru bukan sekadar penyampai ilmu. Mereka juga pembimbing, penjaga dan individu yang dipercayai ibu bapa untuk memastikan anak-anak berada dalam persekitaran yang selamat ketika di sekolah.
Justeru, apabila seorang pendidik didakwa melakukan amang seksual terhadap murid, pengkhianatan yang berlaku bukan hanya terhadap mangsa. Ia turut mencabuli kepercayaan ibu bapa dan mencalar kewibawaan institusi pendidikan.
Bentuk salah laku yang dilaporkan juga semakin meresahkan, daripada gangguan menerusi aplikasi mesej dan sentuhan tidak wajar, hinggalah ugutan serta eksploitasi seksual terhadap pelajar bawah umur.
Mangsa pula bukan hanya terdiri daripada murid perempuan. Kes membabitkan murid lelaki turut berlaku, termasuk apabila pelakunya ialah guru wanita.
Hakikat ini seharusnya menyedarkan kita bahawa isu keselamatan seksual murid tidak boleh dilihat melalui stereotaip gender atau dianggap sebagai masalah disiplin biasa.
Ia adalah isu perlindungan kanak-kanak dan jenayah serius yang mempunyai implikasi undang-undang.
Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual terhadap Kanak-Kanak 2017 sendiri memperuntukkan kesalahan dan hukuman berkaitan perlakuan seksual terhadap kanak-kanak. Maka, apabila dakwaan sedemikian timbul, tindakan tidak sepatutnya berhenti pada soal disiplin dalaman atau menjaga nama baik institusi.
Yang lebih utama ialah keselamatan dan kebajikan mangsa. Dalam banyak keadaan, mangsa mungkin mengambil masa untuk bersuara. Ketakutan, rasa malu, trauma atau kebimbangan tidak dipercayai boleh menyebabkan mereka memilih untuk berdiam diri.
Tambahan pula, hubungan guru-murid mempunyai jurang kuasa yang jelas. Murid mungkin melihat guru sebagai individu yang mempunyai autoriti, menyebabkan mereka berasa tidak berdaya untuk menolak, melawan atau membuat laporan.
Sebab itu, pendekatan terhadap isu ini tidak boleh bersifat reaktif menunggu kejadian berlaku sebelum bertindak. Pencegahan mesti bermula lebih awal.
Pada masa sama, setiap aduan berkaitan salah laku seksual mesti diambil serius dan disiasat secara telus tanpa mengira pangkat, kedudukan atau tempoh perkhidmatan individu terbabit.
Sekolah juga perlu mempunyai saluran aduan yang benar-benar selamat, mudah dicapai dan difahami murid.
Dalam hal ini, ibu bapa turut mempunyai peranan besar. Komunikasi terbuka dengan anak perlu dibina sejak awal supaya mereka berani berkongsi sekiranya berlaku sesuatu yang membuatkan mereka tidak selesa atau berasa terancam.
Perubahan tingkah laku, ketakutan terhadap individu tertentu, keresahan atau keengganan ke sekolah tidak wajar terus dianggap sebagai kerenah biasa. Ia mungkin merupakan tanda bahawa ada sesuatu yang sedang dipendam. Pada akhirnya, kita perlu kembali kepada asas.
Guru ialah profesion yang dibina atas kepercayaan. Ibu bapa menyerahkan anak-anak mereka kepada sekolah dengan harapan ilmu, akhlak dan keselamatan mereka terpelihara. Maka, guru sepatutnya menjadi pelindung, bukan pemangsa.
Sebab itu, membicarakan isu ini bukan soal membuka aib atau menjatuhkan profesion perguruan.
Sebaliknya, keberanian membongkar kelemahan dan memperbaiki sistem adalah sebahagian daripada usaha memastikan sekolah kekal sebagai tempat selamat. Dalam soal keselamatan dan maruah kanak-kanak, tiada ruang untuk berkompromi.
*Azie Yahaya ialah Sub Editor Sinar Harian