TEMERLOH - Empat individu maut manakala empat lagi cedera dalam kemalangan membabitkan 11 kenderaan di Kilometer (KM) 110.4 Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1 (LPT1), arah Lanchang menghala Kuantan dekat sini pada Isnin.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Mohd Salahuddin Isa berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 10.44 malam.
Menurutnya, kemalangan tersebut membabitkan dua Proton Saga, dua Perodua Myvi, Toyota Alphard, sebuah bas ekspres, Proton S70, lori tanker, Honda CRV, Toyota Hilux dan Perodua Aruz.
“Tiga mangsa maut dalam Proton S70 ialah pemandu, Muhammad Nazatullah Nazmi, 32, penumpang, Nur Atiqah Sofiya Mohd Kazwan, 32, serta seorang kanak-kanak.
“Seorang lagi mangsa ialah lelaki dewasa berbangsa Cina yang berada dalam Honda CRV,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Mohd Salahuddin berkata, empat lagi mangsa mengalami kecederaan, termasuk dua lelaki tersepit dalam lori tangki dan Honda CRV, selain seorang wanita menaiki Toyota Hilux serta seorang lelaki cedera ringan dalam Proton Saga.
“Seramai 30 penumpang bas ekspres dilaporkan selamat, selain mangsa dalam Toyota Alphard, Perodua Aruz, dua Perodua Myvi dan sebuah Proton Saga.
“Sebahagian mangsa dalam Toyota Hilux turut dilaporkan selamat,” katanya.
Beliau berkata, sepasukan lapan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Mentakab bersama dua jentera tiba di lokasi pada jam 11.24 malam, kira-kira 40 minit selepas menerima panggilan kecemasan.
“Pasukan bomba menggunakan peralatan khas untuk mengeluarkan dua lelaki tersepit dalam Honda CRV dan lori tanker sebelum mangsa cedera diserahkan kepada pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
“BBP Temerloh kemudian tiba dengan tujuh anggota bagi membantu mengeluarkan seorang lagi mangsa tersepit dalam Honda CRV.
“Mangsa disahkan meninggal dunia oleh pihak KKM sebelum diserahkan kepada polis,” katanya.
Menurutnya, enam anggota BBP Karak turut membantu mengeluarkan tiga mangsa tersepit dalam Proton S70 menggunakan peralatan khas.
“Ketiga-tiga mangsa berjaya dikeluarkan namun disahkan meninggal dunia oleh pihak KKM sebelum diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya.
Mohd Salahuddin berkata, operasi dikawal pada jam 2.48 pagi sebelum anggota bomba menjalankan kerja pembersihan dan pemantauan bagi memastikan tiada lagi kemerbahayaan.
“Operasi tamat sepenuhnya pada jam 2.50 pagi dan semua jentera bersama anggota meninggalkan lokasi untuk kembali ke balai,” katanya.