MERSING - Polis menyiasat status permit dan lesen dua bot penumpang yang bertembung di Kuala Sungai Mersing hingga mengorbankan dua nyawa dan mencederakan tujuh yang lain pada Ahad.
Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad berkata, pihaknya juga sedang meneliti sama ada prosedur operasi standard (SOP) dan syarat ditetapkan kepada pengendali bot dipatuhi ketika kejadian.
Menurutnya, polis belum dapat mengesahkan secara rasmi sama ada kedua-dua bot terbabit mempunyai permit atau lesen sah untuk membawa penumpang.
“Perkara ini masih terlalu awal dan kita perlu memberikan ruang kepada pihak penyiasat untuk melengkapkan siasatan.
Menurut Ab Rahaman, siasatan awal mendapati kejadian berlaku pada kira-kira jam 8.15 malam pada Isnin, apabila bot Sea Queen yang membawa enam individu bertembung dengan bot Rawa Birds yang dinaiki tiga individu di Kuala Sungai Mersing, kira-kira 800 meter dari Jeti Sungai Mersing.
Jelasnya, pelanggaran itu mengorbankan pengendali Sea Queen, lelaki berusia 38 tahun serta seorang penumpang lelaki berusia 32 tahun.
"Tujuh lagi mangsa cedera, dengan sebahagian daripada mereka dilaporkan mengalami kecederaan parah dan menerima rawatan di Hospital Mersing, Hospital Sultan Ismail (HSI) serta Hospital Pasir Gudang," ujarnya.
Ab Rahaman berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 304A Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kematian dengan perbuatan cuai atau gopoh.
Siasatan turut dijalankan mengikut Seksyen 280 Kanun Keseksaan kerana mengendalikan perahu secara gopoh atau cuai, selain laporan mati mengejut (SDR).
Pada masa sama, katanya, polis akan mendapatkan kerjasama Jabatan Laut untuk menjalankan siasatan mengikut Ordinan Perkapalan Saudagar 1952.
“Kita akan mengambil keterangan daripada mangsa yang terselamat, pasukan penyelamat serta individu yang mula-mula tiba di tempat kejadian.
“Kita juga akan mendapatkan bantuan Jabatan Kimia untuk membantu siasatan, termasuk mengesahkan impak kejadian,” katanya.
Beliau berkata, orang ramai diminta tidak membuat spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak tepat yang boleh mengganggu siasatan polis.