KUANTAN - Hilang kawalan dipercayai menjadi punca sebuah lori tangki membawa muatan simen merempuh 10 kenderaan sehingga menyebabkan kemalangan di Kilometer 110.3 Lebuhraya Pantai Timur (LPT) arah timur, dekat Lanchang di sini pada malam Isnin.
Kejadian kira-kira jam 10.55 malam itu meragut empat nyawa, termasuk pasangan suami isteri bersama anak lelaki mereka berusia empat tahun yang menaiki sebuah Proton S70.
Mangsa ialah Muhammad Nazatul Nazmi, 32, selaku pemandu, isterinya, Nur Atiqah Sofiya Mohd Kazwan, 32, serta anak lelaki mereka berusia empat tahun.
Turut maut ialah penumpang kereta Honda CR-V, Seow Beng Wain, 55.
Pemangku Ketua Polis Pahang, Datuk Azry Akmar Ayob berkata, siasatan awal mendapati semua kenderaan terbabit sedang dalam perjalanan menuju ke arah timur ketika kejadian.
“Pemandu Honda CR-V berusia 18 tahun dan pemandu lori tangki mengalami kecederaan parah dan kini menerima rawatan di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS), Temerloh,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Menurutnya, kemalangan berkenaan turut membabitkan sebuah bas ekspres, Toyota Hilux, MPV Alphard dan lima kereta lain.
Katanya, pemandu serta penumpang lapan kenderaan terbabit tidak mengalami kecederaan serius.
“Kesemua mangsa telah dibawa ke HoSHAS bagi mendapatkan rawatan dan bedah siasat akan dijalankan pagi ini.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan tindakan siasatan lanjut masih diteruskan,” katanya.
Sementara itu, Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Mohd Salahuddin Isa berkata, Pusat Gerakan Operasi menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian pada jam 10.44 malam.
Katanya, Pasukan Keluaran Operasi (PKO) Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Mentakab bersama lapan anggota dan dua jentera tiba di lokasi pada jam 11.24 malam selepas menempuh perjalanan kira-kira 35 kilometer.
Beliau menambah, pihak bomba menggunakan peralatan khas bagi mengeluarkan dua lelaki yang tersepit, masing-masing dari Honda CR-V dan lori tangki, sebelum mangsa cedera diserahkan kepada pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
“Operasi turut dibantu PKO BBP Temerloh bersama tujuh anggota yang tiba pada jam 12 tengah malam bagi mengeluarkan seorang lagi mangsa yang masih tersepit di dalam Honda CR-V.
“Mangsa bagaimanapun disahkan meninggal dunia oleh pihak KKM sebelum diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya.