Bekas CEO UiTM Holdings didakwa pecah amanah RM37.3 juta

Iklan
Bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) UiTM Holdings Sdn Bhd Azlizan Fadzil, 53, hadir ke mahkamah dengan berkerusi roda. Tertuduh didakwa pecah amanah RM37.3 juta.

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Seorang bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) UiTM Holdings Sdn Bhd mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Khamis, atas satu pertuduhan melakukan pecah amanah membabitkan wang RM37.37 juta, sembilan tahun lalu.

Azlizan Fadzil, 53, hadir ke mahkamah dengan berkerusi roda, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim, Datuk Mohd Nasir Nordin.

Iklan
Iklan

Mengikut pertuduhan, tertuduh selaku Ketua Pegawai Eksekutif UiTM Holdings Sdn Bhd (UHSB), telah diamanahkan dengan penguasaan ke atas harta iaitu wang RM37,374,612.68 yang diperuntukkan untuk pelaburan pembangunan penjanakuasaan elektrik solar photovoltaic berskala besar berkapasiti 50 megawatt (MW) di Gambang, Pahang.

Dia didakwa telah melakukan pecah amanah jenayah terhadap harta tersebut dengan secara tidak jujur menyalahgunakannya melalui pelbagai pembayaran bagi tujuan selain daripada tujuan yang ditetapkan.

Iklan

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Affin Bank Berhad Cawangan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Menara Sultan Abdul Aziz Shah, antara 2 Februari dan 2 Oktober 2017.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara antara dua hingga 20 tahun, sebatan dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Iklan

Azlizan Fadzil, 53, hadir ke mahkamah dengan berkerusi roda dan membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim, Datuk Mohd Nasir Nordin.

Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Law Chin How mencadangkan ikat jamin ditetapkan sebanyak RM100,000 dengan seorang penjamin

"Jumlah itu munasabah kerana kesalahan berkenaan sangat serius selain kes ini membabitkan reputasi UiTM berkaitan projek solar serta dakwaan ketirisan dana awam.

"Kami juga memohon mahkamah mengenakan syarat tambahan iaitu melaporkan diri di pejabat SPRM tiga bulan sekali," katanya yang hadir bersama Timbalan Pendakwa Raya, ‘Atirah Mohd Azuarizanuddin.

Dalam pada itu, beliau berkata, pendakwaan mengesahkan telah menerima salinan laporan perubatan tertuduh yang menunjukkan dia mengalami strok dan kecacatan kognitif.

Sementara itu, peguam, Hasshahari Johari Mawi merayu kadar ikat jamin dikurangkan kepada RM20,000 dengan dua penjamin.

Menurutnya, anak guam mempunyai masalah kesihatan yang serius, diserang 'strok' dan mengalami gangguan otak.

"Ekoran penyakit itu, dia tidak mempunyai pendapatan lain maka isterinya terpaksa menyara tujuh anak mereka yang masih belajar, berusia 21 hingga 14 tahun.

"Kami tidak membantah sekiranya mahkamah mengenakan syarat tambahan iaitu pasport anak guam diserahkan kepada mahkamah dan melaporkan diri di pejabat SPRM sekali setiap tiga bulan.

"Dia tidak menunjukkan risiko untuk melarikan diri atau mengganggu saksi," katanya yang turut hadir bersama peguam, Fatin Syaza Irdina Muhamad Eddin Syazri.

Selepas mendengar permohonan kedua-dua pihak, Mohd Nasir membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM50,000 dengan dua penjamin.

"Tertuduh dikehendaki memenuhi syarat tambahan iaitu menyerahkan pasport kepada mahkamah, melaporkan diri di pejabat SPRM sekali setiap tiga bulan dan dilarang mengganggu saksi pendakwaan," katanya yang kemudian menetapkan sebutan semula kes pada 3 November.