Pahang catat kutipan hasil RM850 juta setakat Julai

Mohamad Nizar (kiri) menjadi panelis Program Town Hall Rakyat yang dihoskan oleh Fikry Ibrahim di Dewan Karangkraf pada Jumaat.
Mohamad Nizar (kiri) menjadi panelis Program Town Hall Rakyat yang dihoskan oleh Fikry Ibrahim di Dewan Karangkraf pada Jumaat.
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Kerajaan Pahang dilihat berada pada landasan yang benar apabila berjaya mengutip hasil negeri sebanyak RM850 juta setakat Julai tahun ini.

Exco Pelaburan, Perindustrian, Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri Pahang, Datuk Mohamad Nizar Mohamad Najib berkata, Pahang di bawah pimpinan Menteri Besarnya, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail mempamerkan kualiti mengagumkan sehinggakan berjaya memungut hasil RM1 bilion selama empat tahun berturut-turut.

Menurut beliau, kekuatan kewangan yang ada bebas untuk Pahang menentukan hala tuju sendiri tanpa perlu bergantung harap kepada bajet Persekutuan.

"Sasaran kerajaan negeri sekitar RM1.247 bilion (2026) dan bos (Wan Rosdy) saya ini takkan simpan duit itu.

"Apabila kita ada hasil RM1 bilion, maka Kerajaan Negeri Pahang ada kekuatan kewangan dan boleh berdikari dari segi memberi bantuan kepada rakyat, membuat bajet untuk pembangunan dan sebagainya.

"Cuba bayangkan kalau kita ada pentadbiran yang tak tahu macam mana nak menjana hasil, mengurus kewangan dengan baik dan tidak menutup ketirisan, sudah tentu ekonomi Pahang akan terumbang-ambing," katanya.

Beliau berkata sedemikian pada Program Town Hall Rakyat dihoskan pelakon popular, Fikry Ibrahim di Dewan Karangkraf pada Jumaat.

Program bermula pada jam 8.30 malam dan disiarkan secara langsung di semua platform digital Sinar Harian.

Ditanya tentang rahsia mengekalkan kutipan RM1 bilion untuk empat tahun berturut-turut, Mohamad Nizar memaklumkan ia lahir daripada keperluan mendesak Pahang yang pertama kali menjadi pembangkang pada 2018.

Artikel Berkaitan:

Pada hemat beliau, 'sejarah buruk' itu mendorong Menteri Besar dan Exco Kerajaan Negeri Pahang untuk duduk berbincang dan mencari idea tentang langkah meningkatkan hasil negeri.

Selepas mengamati kelebihan dan kekurangan, jelasnya, Menteri Besar mengambil pendekatan berani dengan menutup ketirisan di beberapa syarikat berkepentingan kerajaan serta mencantas portfolio tidak 'perform', dalam masa sama meningkatkan dividen syarikat berkaitan kerajaan (GLC) Pahang.

"Selain itu, meningkatkan hasil cukai tanpa membebankan rakyat dan industri. Itulah permulaan kepada hasrat untuk tidak 'ditindas figura-figura tertentu' dalam Kerajaan Persekutuan," ujarnya.

Beliau turut memaklumkan, manifestasi RM1 bilion kutipan hasil ditonjolkan melalui pemberian bantuan dan insentif khas untuk rakyat Pahang.

Antara lain Inisiatif Makmur Pahang (IM Pahang) seperti IMP Siswa, Kad Kesihatan Kasih Makmur, Inisiatif Perkahwinan Kali Pertama, Bantuan Tunai RM200 kepada Nelayan B40, Bantuan Pendidikan Yayasan Pahang (YP) dan banyak lagi.

Sementara itu, Mohamad Nizar turut membayangkan sekiranya Pahang memiliki sumber minyak sepertimana negeri-negeri lain, sudah semestinya ekonomi menjadi lebih rancak dan menjanjikan keuntungan lumayan.

Atas dasar itu, beliau berpendapat bahawa aspirasi Pahang 1st yang ditekankan oleh Wan Rosdy perlu cemerlang dari segenap aspek.

"Mungkin bukan tiap-tiap kali kita boleh mencapai nombor satu, tetapi kalau mahu terus menjadi nombor satu, kita semakin hampir dengan sasaran tersebut," jelas anak sulung bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak itu lagi.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

Article Details