Cuba padam api, pemilik kilang melecur, bomba ambil masa 10 jam kawal kebakaran

BUTTERWORTH – Seorang pemilik kilang melecur tahap satu pada tangan dan leher selepas cuba memadam kebakaran premis memproses kain fabrik untuk kegunaan sofa di Jalan Bagan Ajam di sini pada Jumaat.
Dalam kejadian kira-kira jam 6.09 petang itu, mangsa berusia 58 tahun menerima rawatan awal daripada pasukan Kementerian Kesihatan (KKM) sebelum dibawa ke hospital berhampiran untuk rawatan susulan.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, John Sagun Francis berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian membabitkan kilang separuh kekal itu pada jam 6.09 petang.

Menurutnya, jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Butterworth tiba di lokasi pada jam 6.17 petang, kira-kira 10 kilometer dari balai berkenaan.
“Pasukan bomba mendapati kebakaran melibatkan sebuah kilang berkeluasan kira-kira 60 x 100 kaki yang menjalankan operasi memproses kain fabrik untuk kegunaan sofa.
“Anggaran kemusnahan akibat kebakaran adalah sebanyak 80 peratus,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Beliau berkata, kebakaran turut menyebabkan kira-kira 50 peratus kemusnahan terhadap dua motosikal, manakala sebuah lori empat tan dan forklift masing-masing mengalami kerosakan kira-kira 90 peratus.
“Pasukan bomba berjaya mengawal kebakaran selepas 10 jam iaitu bermula pada jam 6.28 petang hingga jam 4.35 pagi.
“Kerja-kerja ‘overhaul’ kemudian dijalankan bagi memastikan tiada bahaya lain sebelum operasi tamat sepenuhnya pada jam 6.59 pagi,” katanya.
John berkata, operasi pemadaman dibantu pasukan bomba sukarela (PBS) berhampiran dan sebuah jengkaut milik syarikat swasta bagi membuka ruang untuk pasukan bomba melakukan 'serangan' terus terhadap kebakaran.
“Komander operasi turut mengarahkan pasukan keluaran operasi menggunakan peralatan perlindungan diri (PPE) lengkap serta mengaplikasikan konsep RECEO dengan kaedah pemadaman secara ofensif dan defensif serta mewujudkan fire break.
“Teknik ‘melemaskan’ api menggunakan buih turut digunakan,” katanya.
Operasi melibatkan 26 anggota dari BBP Butterworth, Penanti, Kepala Batas, Jalan Perak, Bandar Perda, Bertam dan Perai.
Turut membantu operasi ialah Polis Diraja Malaysia, KKM, Tenaga Nasional Berhad serta tujuh pasukan bomba sukarela (PBS) iaitu Sungai Puyu, Raja Uda, Bagan Ajam, Kepala Batas, Sungai Petani, Machang Bubok dan Kampung Selamat.
"Kes kemudiannya diserahkan kepada Pasukan Penyiasatan Kebakaran (FIO) untuk tindakan lanjut," katanya lagi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

