Fernandes mengganas, United raih kemenangan pertama

Fernandes meledak hatrik ketika membantu United mengalahkan Ipswich 5-2 dalam aksi EPL di laman sendiri pada Ahad. Foto AFP
Fernandes meledak hatrik ketika membantu United mengalahkan Ipswich 5-2 dalam aksi EPL di laman sendiri pada Ahad. Foto AFP
A
A
A

BRUNO Fernandes membuktikan dirinya bukan sekadar arkitek permainan apabila meledak hatrik untuk mengilhamkan kemenangan Manchester United 5-2 ke atas Ipswich Town dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) pada Ahad.

Kemenangan itu menjadi yang pertama buat skuad kendalian Michael Carrick musim ini selepas mereka dimalukan pasukan baru dinaikkan, Hull City, pada aksi pembukaan.

Kapten dari Portugal itu mengubah haluan perlawanan apabila menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-40 selepas Leif Davis terlebih dahulu meletakkan Ipswich di depan.

Pemain berusia 31 tahun itu kemudian menambah dua lagi gol, termasuk menerusi sepakan penalti, sekali gus melengkapkan hatrik keduanya dalam EPL.

Hatrik pertamanya turut hadir dalam aksi pembukaan di laman sendiri ketika United menentang Leeds United lima tahun lalu, malah Fernandes hampir menambah gol keempat menerusi rembatan dari kawasan berhampiran garisan tengah.

"Dia sangat penting. Dia sudah berada di sini untuk beberapa tahun. Dia sudah melalui pelbagai emosi dan pengalaman berbeza.

"Dia kini mempunyai banyak pengalaman untuk dikongsikan dengan pemain lain, menunjukkan jalan kepada mereka, memimpin melalui teladan dan membantu pada pelbagai keadaan.

"Pada hari seperti ini, apabila anda mengharapkan pemain tertentu memberikan sesuatu yang berbeza kepada pasukan – dia melakukannya dengan sangat baik hari ini," kata Carrick.

Fernandes turut mencipta gol kelima United apabila hantaran lorong cantiknya disudahkan Bryan Mbeumo, sekali gus menyerlahkan keupayaannya sebagai penggerak utama pasukan.

Artikel Berkaitan:

Prestasi cemerlangnya diteruskan sejak musim lalu di bawah Carrick selepas Ruben Amorim dipecat pada Januari, dengan Fernandes diberi kebebasan bergerak antara barisan tengah dan serangan bagi mengawal rentak permainan.

Selain jaringan dan bantuan gol, pemain itu turut menunjukkan komitmen tinggi tanpa bola dengan kerap melakukan tekanan, membantu pertahanan serta menuntut standard terbaik daripada rakan sepasukan, menjadikannya nadi penting skuad Carrick.

"Dia memberikan banyak perkara kepada kami. Apa lagi yang boleh saya katakan? Saya sudah banyak bercakap mengenainya dan saya baru berada di sini enam atau tujuh bulan. Mudah-mudahan masih banyak lagi yang akan datang," tambah Carrick.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

Article Details