Real Madrid membara kekal rekod bersih

Para pemain meraikan kejayaan Real Madrid membenam Malaga 4-0 dalam saingan La Liga di Santiago Bernabeu pada Ahad. Foto AFP
Para pemain meraikan kejayaan Real Madrid membenam Malaga 4-0 dalam saingan La Liga di Santiago Bernabeu pada Ahad. Foto AFP
A
A
A

REAL Madrid meneruskan rekod kemenangan sempurna dalam saingan La Liga selepas membelasah Malaga 4-0 di Santiago Bernabeu.

Kemenangan ketiga berturut-turut itu membolehkan skuad kendalian Jose Mourinho mengumpul sembilan mata daripada tiga perlawanan, sekali gus berada dua mata di depan Atletico Madrid dan Alaves.

Jude Bellingham menjadi watak utama apabila membuka tirai jaringan menerusi aksi solo mengagumkan, sebelum membantu Real mengukuhkan kedudukan pada babak pertama.

Pemain tengah England itu memecah kebuntuan pada minit ke-19 selepas merampas bola berhampiran kotak penalti, menggelecek melepasi tiga pemain sebelum melepaskan rembatan rendah menewaskan Alfonso Herrero.

Real menggandakan kelebihan tujuh minit kemudian apabila situasi kelam-kabut di hadapan gawang Malaga menyaksikan Herrero bertembung dengan rakan sepasukan dan bola akhirnya melantun masuk ke gawang sendiri.

Kylian Mbappe kemudian menjadikan kedudukan 3-0 pada minit ke-30 apabila menyudahkan hantaran lintang Trent Alexander-Arnold menerusi voli menarik.

Mourinho sebelum itu melakukan lima pertukaran dalam kesebelasan utama selepas menggunakan barisan sama dalam dua aksi pembukaan liga, termasuk memberikan Marc Cucurella peluang pertama untuk bermula dalam pasukan utama.

Alexander-Arnold hampir mencipta jaringan seawal minit pertama menerusi percubaan menggunakan bahagian luar kaki, namun sepakannya sedikit tersasar daripada sasaran.

Malaga turut mencemaskan tuan rumah apabila Joaquin Munoz melepaskan rembatan dari luar kotak penalti pada minit ke-15, tetapi percubaannya gagal menewaskan Thibaut Courtois.

Artikel Berkaitan:

Real memperlahankan tempo permainan selepas rehat, namun Bellingham hampir menambah gol peribadi apabila percubaannya pada minit ke-55 sekadar menggegar tiang.

Arda Guler, yang masuk sebagai pemain gantian, akhirnya melengkapkan pesta gol pada masa kecederaan selepas menyudahkan gerakan satu-dua bersama Vinicius Jr.

Selepas ini, Real akan bertandang ke Seville untuk berdepan Real Betis pada Jumaat sebelum memulakan cabaran Liga Juara-Juara Eropah dengan melayan kunjungan Inter Milan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

Article Details