Sindiket dadah rentas sempadan tumpas, methamphetamine bernilai RM4.31 juta dirampas

Dennis (tengah) menunjukkan dadah yang dirampas daripada suspek pada sidang akhbar di Ibupejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang pada Selasa.
Dennis (tengah) menunjukkan dadah yang dirampas daripada suspek pada sidang akhbar di Ibupejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang pada Selasa.
A
A
A

GEORGE TOWN – Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman menumpaskan sindiket pengedaran dadah rentas sempadan Malaysia-Thailand selepas merampas sebanyak 252.2 kilogram (kg) methamphetamine bernilai RM4.31 juta dalam operasi bersama Polis Diraja Thailand.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Dennis Lim berkata, kejayaan itu hasil perkongsian maklumat risikan antara JSJN Bukit Aman dan Biro Pembanterasan Narkotik Polis (PNSB) Thailand.

Menurutnya, kejayaan tersebut turut membuktikan kegiatan pengedaran dadah merupakan ancaman rentas sempadan yang memerlukan kerjasama erat antara agensi penguat kuasa kedua-dua negara.

“Pada 8 Ogos lalu, Polis Daerah Hua Hin, wilayah Prachuap Khiri Khan, Thailand menjalankan pemeriksaan terhadap sebuah kereta BMW dalam sekatan jalan raya sebelum menahan seorang lelaki warga Malaysia.

“Hasil pemeriksaan menemukan 166 kg dadah disyaki methamphetamine dan tangkapan serta rampasan itu kemudiannya diserahkan kepada PNSB Thailand untuk siasatan lanjut,” katanya pada sidang akhbar di Ibupejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang di sini pada Selasa.

Beliau berkata, hasil siasatan PNSB kemudiannya membawa kepada perkongsian maklumat risikan dengan JSJN Bukit Aman berhubung penglibatan ahli sindiket yang dipercayai menggunakan kenderaan untuk membawa dan menyembunyikan dadah.

Katanya, berdasarkan maklumat berkenaan, JSJN Bukit Aman menjalankan risikan dan tindakan susulan sebelum melancarkan Op Zoraptera di Selangor dan Pulau Pinang.

"Pemeriksaan ke atas sebuah kereta Nissan Teana di kawasan parkir sebuah hotel di Butterworth dan menjumpai puluhan bungkusan dadah lagi.

“Operasi yang dijalankan dalam tiga siri serbuan itu membawa kepada penahanan empat suspek terdiri daripada tiga lelaki tempatan dan seorang wanita warga asing berusia antara 19 hingga 25 tahun.

Artikel Berkaitan:

"Wanita berkenaan warga Thailand dan merupakan isteri kepada suspek kedua. Sebanyak 83 bungkusan disyaki methamphetamine seberat 86.2kg turut dirampas,” katanya.

Menurut Dennis, dengan mengambil kira rampasan 166kg methamphetamine di Thailand, jumlah keseluruhan dadah yang berjaya dirampas hasil kerjasama kedua-dua agensi adalah sebanyak 252.2kg.

“Nilai keseluruhan dadah yang dirampas di Malaysia sahaja dianggarkan RM4.31 juta,” ujarnya.

Beliau berkata, siasatan mendapati sindiket berkenaan mengubah suai struktur kenderaan dengan menyediakan ruang khas tersembunyi bagi menyimpan dan mengangkut dadah.

“Dadah berkenaan dipercayai dibawa masuk untuk pasaran tempatan dan juga pasaran luar negara.

“Sindiket ini dipercayai aktif sejak Jun 2026 dan mempunyai rangkaian yang menjalankan aktiviti pengedaran dadah merentasi sempadan,” katanya.

Tambahnya, hasil siasatan mendapati kegiatan itu bukan dilakukan sekali sahaja, sebaliknya suspek dipercayai telah beberapa kali membawa masuk dadah ke Malaysia.

“Modus operandi mereka adalah membawa dadah dari Thailand ke Malaysia, dipercayai dalam tempoh sebulan sekali sebelum ia diedarkan kepada rangkaian lain untuk pasaran tempatan dan negara lain.

“Sindiket ini dipercayai mempunyai dalang yang berada di Thailand dan kesemua tidak mempunyai pekerjaan.

"Mereka ini bertindak sebagai 'transporter' dengan setiap individu menerima bayaran kira-kira RM6,000 bagi tugasan berkenaan," ujarnya lagi.

Dennis berkata, ujian saringan awal air kencing mendapati seorang suspek positif dadah jenis ketamin manakala kesemua suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau.

Menurutnya, JSJN Bukit Aman turut mengambil tindakan di bawah Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988 terhadap aset yang dipercayai mempunyai kaitan dengan hasil aktiviti pengedaran dadah.

“Sebanyak lima kenderaan pelbagai jenis bernilai RM420,700 telah disita bagi melumpuhkan rangkaian kewangan dan aset sindiket.

“Nilai keseluruhan rampasan dan sitaan dalam operasi ini berjumlah RM4.73 juta,” katanya.

Beliau menambah, kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati atau penjara seumur hidup dan sebatan tidak kurang 12 sebatan jika disabitkan kesalahan.

“Keseluruhan dadah yang dirampas ini dianggarkan boleh merosakkan kira-kira 430,000 orang,” katanya.

Dalam pada itu, Dennis menegaskan kerjasama risikan dan koordinasi operasi antara agensi penguat kuasa Malaysia dan Thailand akan terus diperkukuh bagi mengekang sindiket dadah antarabangsa.

“Mana-mana individu yang terlibat dalam aktiviti pengedaran dadah tidak boleh menganggap mereka mampu mengelakkan tindakan undang-undang hanya kerana berada di negara lain.

“Dadah adalah musuh nombor satu negara dan JSJN komited memerangi kegiatan ini demi melindungi generasi masa kini dan akan datang,” katanya.

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!