Buruh sawit mengaku salah cederakan bapa guna buah cempedak

KOTA BHARU - Seorang buruh sawit mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Selasa atas pertuduhan menyebabkan kecederaan parah terhadap bapa kandungnya menggunakan buah cempedak pada 13 Ogos lalu.
Tertuduh, Muhamad Zarid Danial Rahim, 30, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Zulkipli Nik Abdullah.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan parah terhadap bapanya, Rahim Mamat, 58, menggunakan sebiji buah cempedak.
Kesalahan itu didakwa dilakukan kira-kira jam 11 pagi pada 13 Ogos lalu di sebuah rumah di Kampung Sungai Johar, Kuala Krai.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 326A kanun yang sama.
Seksyen 325 memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan denda jika sabit kesalahan, manakala Seksyen 326A memperuntukkan hukuman penjara yang boleh dilanjutkan sehingga dua kali ganda daripada tempoh maksimum yang diperuntukkan bagi kesalahan berkenaan sekiranya mangsa merupakan ahli keluarga.
Mahkamah kemudian menetapkan 4 Oktober depan untuk sebutan fakta kes dan hukuman.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

