Bida tongkat Abdul Hadi bukan taasub, tetapi kenang-kenangan – Muqharabbin

MUHAMAD Muqharabbin memegang tongkat yang diserahkan Abdul Hadi Awang selepas memenangi bidaan bernilai RM16,500 pada Majlis Makan Malam Amal Pas Melaka di sebuah hotel di Ayer Keroh, semalam. – FACEBOOK MUHAMAD MUQHARABBIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Membida tongkat milik Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang pada harga RM16,500 bukan kerana taasub terhadap manusia atau disebabkan nilai barangan berkenaan.

Sebaliknya, pembidanya yang juga Ahli Jawatankuasa Pas Kawasan Lembah Pantai, Datuk Muhamad Muqharabbin Mokhtarrudin berkata, tongkat tersebut akan dijadikan kenangan serta peringatan bahawa kekuatan dan kudrat manusia tidak akan kekal selama-lamanya.

Menurut beliau, peluang berada dekat dengan seorang murabbi di samping dapat menyumbang kepada perjuangan Pas Melaka dan Pas Malaysia merupakan antara momen terindah buat dirinya.

“Namun, yang paling penting, tongkat ini menjadi ingatan keras kepada diri saya sendiri.

“Hari ini kita masih kuat, masih mampu berjalan, mendaki puncak tertinggi, berlari sejauh 50 kilometer, berkayuh mengelilingi dunia, bekerja dan berjuang.

“Tetapi kekuatan itu tidak akan kekal selamanya. Jika Allah panjangkan usia, suatu hari nanti saya juga akan tua dan mungkin akan bertongkat,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Muhamad Muqharabbin memenangi bidaan tongkat Abdul Hadi dalam Majlis Makan Malam Amal Pas Negeri Melaka di sebuah hotel di Ayer Keroh malam tadi.

Tongkat daripada kayu kemuning yang tertera parap ‘TGHH’ itu dibuka pada harga RM2,500 sebelum bidaannya meningkat sehingga RM16,500.

Hasil lelongan tersebut disumbangkan kepada tabung Pas sebagai persediaan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka akan datang.

Muhamad Muqharabbin berkata, nilai bidaan RM16,500 itu turut membawa simbolik peribadi, dengan angka satu merujuk kepada ihsan, enam kepada iman dan lima kepada Islam.

Katanya, dua angka kosong di belakang pula menjadi peringatan bahawa manusia akhirnya akan meninggalkan dunia tanpa membawa bersama segala yang dimiliki.

“Bukan tafsiran agama terhadap angka, sekadar simbol untuk mengingatkan diri agar menjaga Islam, iman dan ihsan hingga akhir hayat.

“Sebuah tongkat, sebuah kenangan, tetapi membawa peringatan untuk sepanjang kehidupan,” katanya.– UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN