“Segala penjajahan dan penindasan di dunia berlaku kerana jiwa manusia sudah dijajah nafsu. Oleh itu, awasi penjajahan nafsu anda!”
Tinggal beberapa hari sahaja lagi, Malaysia akan menyambut hari kemerdekaan yang ke 69. Perayaan sebegini perlu diadakan bagi membangkitkan kembali semangat patriotisme warga dalam menyatakan betapa kemerdekaan ialah satu nikmat yang sangat besar untuk kita.
Buktinya, Nabi SAW menyarankan kita berpuasa pada 10 Muharram setiap tahun Hijrah bagi mengenang hari kemerdekaan Bani Isra’il daripada cengkaman penjajahan Firaun. Ini kisahnya.
Ertinya: Ketika Nabi SAW tiba di Madinah, Baginda dapati orang Yahudi berpuasa pada hari ‘Asyura’ (10 Muharam). Setelah ditanya, Yahudi berkata: “Ini hari yang baik! Inilah harinya Allah selamatkan Bani Isra’iI daripada (penjajahan) musuh mereka.
Oleh kerana itu, Nabi Musa berpuasa pada hari ini. Berikutan itu, Baginda Rasulullah SAW bersabda: “Aku lebih layak bergembira dengan kejayaan Musa ini berbanding kamu semua.”
Baginda kemudiannya berpuasa pada hari tersebut dan mengarahkan para sahabat untuk turut berpuasa (Sahih al-Bukhari, 2004).
Untuk itu, rencana kali ini akan menggabungkan nikmat kelahiran Nabi SAW dengan kemerdekaan dalam konteks Malaysia.
Kelahiran serta pengutusan Nabi SAW bukan fenomena biasa. Ia adalah manifestasi kemerdekaan jiwa yang sebenar. Masyarakat Arab jahiliah dahulu hidupnya tanpa pedoman seakan dijajah oleh nafsu binatang.
Setelah Nabi SAW dibangkitkan, penjajahan nafsu mereka di merdekakan Islam. Lihat penjelasan Ja’afar bin Abi Talib RA tentang perjuangan Nabi SAW ketika beliau menerangkan asas perjuangan
Nabi SAW kepada Raja al-Najasyi dalam peristiwa Hijrah umat Islam ke Habsyah:
Ertinya: “Wahai Raja! Kami dahulunya kaum Jahiliah yang menyembah berhala, kami makan bangkai (haiwan yang tidak disembelih dengan nama Allah), kami melakukan perkara keji (seperti zina), memutuskan hubungan keluarga, berlaku buruk kepada jiran, yang kuat selalu membaham (menindas) yang lemah.
“Kami berada dalam keadaan itu sehingga Allah mengutus kepada kami seorang Rasul dalam kalangan kami yang kami kenal keturunannya, kebenarannya, amanahnya dan kesuciannya. Dia menyeru kami agar meng-Esa-kan serta menyembah hanya Allah, meninggalkan segala sembahan sesat seperti batu dan berhala peninggalan datuk nenek kami.
“Nabi ini mengajar kami bercakap benar, menunaikan amanah, menyambung hubungan keluarga, berbuat baik kepada jiran, menahan diri daripada perbuatan haram dan penumpahan darah. Dia juga melarang kami melakukan benda keji, cakap dusta, makan harta anak yatim, menuduh wanita suci berzina.
“Juga menyuruh kami menyembah hanya Allah serta tidak menyekutukan-Nya dengan sesuatu apa pun…. (Musnad Ahmad, 1740 & Sahih Ibn Khuzaymah, 2260).
Walaupun Malaysia sudah merdeka selama 69 tahun, tidak semua Muslim Malaysia benar-benar merdeka mindanya daripada penjajahan nafsu. Nafsu boleh jadi ganas dan buta tanpa bimbingan agama. Demi untuk mengawal nafsu serta mencelikkan akal manusia, Baginda Rasulullah SAW diutus dengan Islam.
Merdeka dalam Islam bukan hanya bebas daripada cengkaman penjajah. Islam memandang kemerdekaan secara lebih holistik; merangkumi merdeka jiwa (bebas daripada belenggu syirik), ekonomi (al-Baqarah 2:275-282, al-Hasyr 59:7, al-Mutaffifin 83:1-3), merdeka politik (al-Hajj 22:41, al-Nur 24:55), merdeka sosial (Ali ‘Imran 3:110, al-Hujurat 49:13), dan sebagainya.
Uniknya semua penjajahan manusia berkait rapat dengan sifat tamak, haloba yang mendorong mereka menjadi jahat dan mahu menindas orang lain dalam berbagai sudut sama ada penjajahan ekonomi, sosial, politik dan sebagainya.
Semua sifat negatif ini berpunca dari gelojak nafsu yang dipegang tali kekangnya oleh syaitan. Oleh itu, Allah memberi amaran keras, nafsu yang tidak dikekang tali agama mampu menjadi ‘tuhan’ sembahan manusia yang mampu membutakan mata hati:
Ertinya: Dengan yang demikian, bagaimana fikiranmu (wahai Muhammad) terhadap orang yang menjadikan hawa nafsunya: tuhan yang dipatuhinya, dan dia pula disesatkan oleh Allah kerana diketahuiNya (dia tetap kufur ingkar), dan dimeteraikan pula atas pendengarannya dan hatinya, serta diadakan lapisan penutup atas penglihatannya?
Maka siapa lagi yang dapat memberi hidayah petunjuk kepadanya sesudah Allah (menjadikan dia berkeadaan demikian)? Oleh itu, mengapa kamu (wahai orang yang ingkar) tidak ingat dan insaf? (al-Jathiyah 45:23).
Apabila nafsu sudah dipertuhankan dan dibiarkan bebas bertakhta dalam jiwa manusia tanpa batasan agama, alam semesta pun boleh musnah dek amukannya. Firman Allah:
Ertinya: Dan kalaulah kebenaran itu tunduk menurut hawa nafsu mereka, nescaya rosak binasalah langit dan bumi serta segala yang adanya. (Bukan sahaja Kami memberikan agama yang tetap benar) bahkan Kami memberi kepada mereka Al-Quran yang menjadi sebutan baik dan mendatangkan kemuliaan kepada mereka; maka Al-Quran yang demikian keadaannya, mereka tidak juga mahu menerimanya; (al-Mu’minun 23:71).
Untuk itu, Baginda Rasulullah SAW datang mengajar manusia agar bebas merdeka daripada penjajahan nafsu yang menjadi akar kepada segala macam penjajahan lain. Islam bawaan Baginda SAW tidak membunuh nafsu manusia kerana nafsu manusia ada fungsi positifnya.
Sebaliknya perjuangan Baginda SAW ialah membimbing nafsu ke arah kebaikan sesuai dengan fitrah manusia ciptaan Allah. Manusia tertarik dengan pasangan beza jantina. Islam mengharamkan zina, namun melorongkan kehendak nafsu itu dengan perkahwinan yang sah sehingga hubungan kelamin melalui perkahwinan yang sah boleh menjadi gedung pahala. Janji Nabi SAW:
Ertinya: “Dan pada kemaluan kamu juga ada pahala sedekah.” Para sahabat bertanya: “Adakah apabila kami memuaskan nafsu kami dengan pasangan kami juga ada pahala?” Baginda menjawab:
“Ya! Apa pandangan kalian jika ia (hubungan kelamin itu) diletakkan pada yang haram (zina), ia pasti membawa dosa. Begitulah juga jika ia diletakkan pada yang halal (perkahwinan yang sah), ia akan membuahkan pahala” (Sahih Muslim, 1674).
Begitu juga, manusia sukakan harta dan kekayaan. Islam haramkan curi, tindas serta rampas, lalu membimbing manusia dengan proses pencarian harta secara halal serta bebas riba, tipu tindas.
Begitulah seterusnya. Segala keperluan manusia dibimbing Islam secara lengkap. Ayuh sama-sama hayati agama bawaan Nabi kita tercinta kerana hanya dengan panduan ini kita mampu benar-benar merdeka secara hakiki dan beroleh kebahagiaan sebenar di dunia dan di akhirat.
Penulis ialah Timbalan Pengarah Pembangunan Pelajar dan Libat Urus Komuniti Pusat Bahasa Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.










