OTTAWA: Langkah mengelak daripada menggunakan produk dan perkhidmatan keluaran Amerika Syarikat (AS) daripada sektor teknologi, minuman keras, hingga kepada penerbangan udara kini memaksa ramai rakyat Kanada mengamalkan gaya hidup baharu.
Bagi seorang mekanik diesel dari Thunder Bay, Ontario, William McDonald barangan buatan tempatan sentiasa menjadi pilihan utamanya meskipun terpaksa menanggung kos perbelanjaan mingguan yang lebih tinggi.
“Sebaik sahaja Presiden AS, Donald Trump mula melaksanakan tarif pada Februari tahun lalu, saya terus memulakan langkah memboikot barangan AS.
“Usaha mengelak produk AS telah meningkatkan kos sara hidup saya, tetapi saya tetap gembira melakukannya.
“Begitu juga dengan barangan dapur yang meningkat kira-kira CAD$50 seminggu (RM144), tetapi anda hanya perlu bekerja lebih sejam untuk menampungnya,” tambah McDonald.
Beliau turut menyamakan tindakan Trump terhadap Kanada seperti ‘pembuli’ di kawasan sekolah yang menjerit dan menghentak kaki apabila tidak mendapat reaksi ketakutan warga Kanada yang dijangkakannya.
Minggu ini, AS mengenakan tarif sebanyak 50 peratus ke atas barangan Kanada.
Perdana Menteri Canada, Mark Carney berikrar akan membalas tindakan tersebut ‘dolar demi dolar’ susulan kegagalan rundingan perdagangan antara kedua-dua negara sebelum ini.
Trump kemudian bertindak balas pada Khamis dengan mengarahkan kerajaan persekutuan untuk menukar nama Tasik Ontario kepada Tasik Amerika.
Tindakan drastik tersebut menyemarakkan lagi kempen boikot secara meluas terhadap barangan dan perkhidmatan AS oleh rakyat Kanada sebagai maklum balas terhadap perang dagang dan ancaman presiden AS berkenaan untuk menguasai negara jiran di utara itu.
Lebih 3,500 penduduk dari seluruh Kanada berkongsi dengan portal The Guardian menerusi tinjauan dalam talian mengenai perubahan gaya hidup yang telah mereka lakukan bagi menentang pendirian politik dan ekonomi pentadbiran AS. – AGENSI










