Pas hilang kerusi Kuala Terengganu, kekal di Marang

Mohd. Zubir Embong (kanan) bersalam dengan peguamnya, Mohd Hafarizam Harun sambil disaksikan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said (tengah) selepas berjaya dalam petisyen mencabar keputusan PRU15 bagi Parlimen Kuala Terengganu semalam. - UTUSAN/PUQTRA HAIRRY ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Pas hilang satu kerusi Parlimen selepas Mahkamah Pilihan Raya Terengganu semalam membatalkan kemenangan Datuk Ahmad Amzad Hashim bagi Parlimen Kuala Terengganu dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lalu.

Namun dalam satu lagi petisyen, parti itu mengekalkan kemenangannya bagi kerusi Parlimen Marang yang dimenangi oleh presidennya, Tan Sri Abdul Hadi Awang.

Keputusan petisyen Parlimen Kuala Terengganu yang memihak kepada Barisan Nasional (BN) itu dibacakan oleh Hakim Mahkamah Pilihan Raya Negeri, Datuk Seri Mohd. Firruz Jaffril.

Mohd. Firuz dalam hujahannya berkata, keputusan itu dibuat selepas mendapati wujud unsur rasuah dan sogokan ketika kempen di Parlimen itu pada PRU15.

Mahkamah juga mengarahkan responden membayar kos sebanyak RM50,000 kepada pihak pempetisyen.

Bagaimanapun mahkamah membenarkan penangguhan keputusan selama 14 hari bagi membolehkan responden membuat rayuan dan memfailkan permohonan rasmi pergantungan responden sebagai Ahli Parlimen.

Petisyen tersebut difailkan calon BN Parlimen Kuala Terengganu yang kalah pada PRU15 lalu, Datuk Mohd. Zubir Embong pada 3 Januari lalu.

Mohd. Zubir diwakili peguam, Datuk Mohd Hafarizam Harun, Muhammad Amin Othman, Norhazira Abu Haiyan dan Mohamed Baharudeen Mohamed Arif.

Ahmad Amzad yang menang di Parlimen Kuala Terengganu dengan perbezaan majoriti 40,907 undi diwakili Wan Rohimi Wan Daud, Saifuddin Othman, Mohd Nasir Embong dan Azrul Rizal.

Sementara itu, calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Parlimen Marang pada PRu15 lalu, Jasmira Othman yang memfailkan petisyen itu pada 3 Januari lalu gagal dalam cubaannya membatalkan keputusan pilhan raya tersebut.

Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu, Datuk Hassan Abdul Ghani yang membuat keputusan itu turut memerintahkan Jasmira membayar kos sebanyak RM50,000

Hassan yang bersidang sebagai Hakim Mahkamah Pilihan Raya memberitahu, mahkamah akan memaklumkan keputusan tersebut kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam masa terdekat.

Dalam penghakiman itu, Hassan memaklumkan mahkamah menolak petisyen tersebut setelah mendapati bukti yang dikemukakan pihak pempetisyen sebelum ini gagal membuktikan keraguan munasabah.

Pada prosiding itu, Jasmira diwakili Datuk Mohd. Hafarizam Harun manakala Abdul Hadi diwakili Datuk Seri Takiyuddin Hassan.

Pada PRU15 lalu, Abdul Hadi memenangi kerusi Parlimen Marang dengan majoriti 41,729 undi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN