Melaka guna varieti MR297 November ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Pesawah di Melaka akan memulakan penanaman varieti benih baharu padi MR297 yang mampu mengeluarkan hasil tiga kali ganda serta tahan tanpa bekalan air, bermula November ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri, Dr. Muhamad Akmal Saleh berkata, penanaman MR297 sekali gus memastikan pengeluaran beras di Melaka dapat dipertingkatkan untuk jangka masa panjang.

Menurutnya, benih baharu itu bakal digunakan para pesawah di kawasan seluas 1,385 hektar yang telah dikenal pasti.

“Kita dalam progres (kemajuan) yang sangat baik dan kita jangkakan, seawal tahun depan Melaka akan menjadi negeri pertama mengeluarkan benih sendiri.

“Kita kini dalam proses kerja-kerja merombak dan meratakan tanah serta pembinaan saliran yang akan dilaksanakan dalam tempoh tiga atau enam bulan ini.

“Justeru kita menyasarkan akan mula tanam benih varieti MR297 bermula November ini dan hasilnya boleh dituai antara Januari atau Februari tahun depan,” katanya kepada pemberita selepas Program Simpulan Kasih Ramadan di sebuah hotel di Jalan Hang Tuah di sini, semalam.

MUHAMAD AKMAL Saleh menyampaikan sumbangan duit raya kepada anak yatim pada Program Simpulan Kasih Ramadan di sebuah hotel di Jalan Hang Tuah, Melaka. – UTUSAN/AMRAN MULUP

Tambah Muhamad Akmal, kebiasaannya untuk satu hektar sawah ia dapat menghasilkan hanya empat tan padi, namun pesawah dijangka mampu memperoleh antara enam atau lapan tan melalui penggunaan MR297

Katanya, benih itu akan dijual kepada pengilang dan pesawah di negeri ini terlebih dahulu, sebelum bakinya dijual kepada pihak luar.

Ujarnya, varieti itu ditanam di kawasan seluas 46 hektar di Merlimau dekat sini sebagai ladang benih padi Melaka yang diusahakan antara 20 hingga 25 pesawah.

“Kelebihan benih ini ia mampu bertahan jika berlaku kekurangan bekalan air yang sering terjadi bila berlaku musim kemarau,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN