JASIN: Tahap sara diri (SSL) padi di Melaka akan meningkat daripada sembilan peratus kepada 15 peratus, susulan tuaian hasil pertama benih padi sah menggunakan varieti MR297 bermula Januari 2025.
Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Desa Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri, Dr. Muhamad Akmal Saleh berkata, sebelum ini projek rintis membabitkan kesesuaian penggunaan varieti berkenaan telah dilaksanakan di Kampung Tengah Padang, Merlimau di sini.
Ujarnya, proses perataan tanah sedang dilakukan selepas Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) mengesahkan lokasi itu bersesuaian ditanam varieti MR297.
“Kawasan di situ telah dikenal pasti paling sesuai untuk tanaman benih padi menggunakan varieti MR297 selain mampu mengeluarkan hasil sehingga tiga kali ganda.
“Kita positif ladang ini akan mengeluarkan hasil pada Januari tahun depan dan memberi peningkatan SSL padi pada 2026 daripada sembilan peratus kepada 15 peratus,” katanya ketika ditemui pemberita pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Dewan Undangan Negeri (DUN) Merlimau di Dataran Orang Kampung, malam tadi.
Sebelum ini, Utusan Malaysia melaporkan, pesawah di Melaka akan memulakan penanaman varieti MR297 yang mampu mengeluarkan hasil tiga kali ganda serta tahan tanpa bekalan air, bermula November ini.
Penanaman MR297 sekali gus memastikan pengeluaran beras di Melaka dapat dipertingkatkan untuk jangka masa panjang.
Tambah Muhamad Akmal, projek benih padi sah itu dijangka bermula pada musim tanaman baharu September ini melibatkan kawasan sawah seluas 42 hektar.
“Ini juga dapat mengatasi isu pesawah yang tidak menerima benih padi berkualiti seperti sebelum ini dan kita guna benih padi MR297 selepas mengambil beberapa faktor antaranya kadar penggunaan air yang rendah dan pengeluaran hasil tinggi,” ujarnya. – UTUSAN










