KUANTAN: Atlet olahraga negara, Shereen Samson Vallabuoy tekad melakukan yang terbaik pada Kejohanan Olahraga Terbuka Malaysia Cahya Mata 2024 di Stadium Darul Makmur di sini dalam usaha melayakkan diri secara merit ke Sukan Olimpik Paris 2024.
Menurutnya, selepas Terbuka Malaysia, dia akan menyertai pertandingan di Terbuka Kazakhstan di Almaty pada 23 dan 24 Jun ini dalam usaha memecahkan rekod kebangsaannya, 51.80 saat (s) sekali gus layak ke Paris.
“Dalam setiap pertandingan yang saya sertai, memang menjadi matlamat saya adalah untuk memecahkan rekod kebangsaan, jadi kita lihat kondisi badan saya esok dan semoga Tuhan berikan yang terbaik buat saya.
“Saya selepas ini akan ke Kazakhstan dan ia peluang terakhir saya untuk ke Olimpik Paris. Saya akan melakukan yang terbaik untuk mengharumkan nama negara layak ke Paris,” katanya ketika ditemui selepas perlawanan separuh akhir 400 meter (m) Kejohanan Olahraga Terbuka Malaysia Cahya Mata 2024 di Stadium Darul Makmur di sini hari ini.
Shereen menang perlumbaan separuh akhir ketiga dengan mencatat 55.44s sekali gus layak ke perlawanan akhir yang dijadualkan esok.
Pada 2 Jun lalu, atlet 400m wanita negara itu berada di landasan terbaik untuk layak secara merit ke Sukan Olimpik Paris 2024 yang dijadualkan pada Julai ini.
Ini selepas atlet kelahiran Perak itu berjaya memperbaharui rekod kebangsaan ketika beraksi di Karnival Trek Tahunan Music City, Tennessee, Amerika Syarikat (AS).
Shereen mencatatkan 51.79s mengatasi 51.80s di Kejohanan Olahraga Tahunan Mt SAC Relays ke-63 pada tahun lalu dengan dia dipisahkan 0.84s untuk layak ke Paris.
Atlet yang berpangkalan di Florida itu perlu melakukan catatan masa sekurang-kurangnya 50.95s untuk layak secara merit ke temasya terbesar di dunia itu. – UTUSAN










