Tapis kemasukan guru, elak kesalahan seksual terhadap murid

PROSES pengambilan guru oleh Kementerian Pendidikan (KPM) perlu diperkemas dengan tapisan lebih ketat bagi mengelakkan individu berisiko daripada memasuki bidang pendidikan. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Proses pengambilan guru oleh Kementerian Pendidikan (KPM) perlu diperkemas dengan tapisan lebih ketat bagi mengelakkan individu berisiko daripada memasuki bidang pendidikan.

Tapisan itu termasuk menilai kemungkinan kecenderungan seksual atau tingkah laku menyimpang dalam kalangan calon guru baharu.

Dekan Kulliyah Kaunseling, Pendidikan dan Sains Sosial, Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (UniSHAMS), Prof. Datin Dr. Sapora Sipon menjelaskan, secara saintifik dan etika, amat sukar untuk mengenal pasti kecenderungan nafsu seseorang secara mutlak.

Beliau berkata, orientasi seksual bukanlah sesuatu yang boleh diukur secara langsung seperti tahap kecerdasan intelek atau ciri personaliti seseorang.

“Bagaimanapun, terdapat beberapa ujian psikologi dan sesi kaunseling klinikal yang mampu membantu mengesan kecenderungan terhadap tingkah laku menyimpang, masalah kawalan impuls atau risiko gangguan seksual.

“Antaranya termasuk ujian berkaitan penaakulan moral dan kestabilan emosi. Proses saringan ini tidak seharusnya tertumpu kepada satu jantina sahaja.

“Sebaliknya, semua calon guru tanpa mengira latar belakang perlu melalui penilaian awal bagi memastikan mereka memiliki kesejahteraan mental, kestabilan emosi serta integriti moral yang tinggi sebelum diberi tanggungjawab mendidik pelajar,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Semalam, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek memberi peringatan kepada pentadbir sekolah, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) supaya peka terhadap sebarang aduan gangguan salah laku termasuk kesalahan seksual melibatkan murid dan tidak menunggu sehingga sesuatu kes menjadi tular sebelum mengambil tindakan.

Katanya, setiap laporan melibatkan dakwaan gangguan seksual yang diterima perlu ditangani mengikut prosedur dan segera dirujuk kepada pihak berkuasa bagi memastikan kebajikan dan keselamatan murid serta pelajar sentiasa terpelihara.

Sementara itu, kaunselor, Zuhdi Zakaria berpandangan, proses intervensi sememangnya boleh dilakukan namun pelaksanaannya tidak mudah.

Beliau berkata, individu yang mempunyai kecenderungan seksual songsang atau tingkah laku menyimpang sering kali sukar dikenal pasti kerana sifatnya yang subjektif, kompleks dan berbeza antara satu individu dengan individu lain.

“Faktor seperti cara seseorang dibesarkan, pengalaman trauma, latar spiritual serta pengalaman hidup sejak kecil boleh mempengaruhi pembentukan tingkah laku seseorang apabila dewasa.

“Terdapat juga individu yang pernah mengalami trauma atau pengalaman seksual yang tidak diurus dengan baik sehingga menjadikan pekerjaan mereka sebagai medium untuk mencari ‘kelegaan’ terhadap konflik dalaman yang dihadapi.

“Situasi inilah yang akhirnya boleh mendorong sesetengah individu bertindak di luar batasan sehingga sanggup menjadikan kanak-kanak sebagai mangsa,” katanya.

Walaupun faktor psikologi bukan alasan untuk melakukan jenayah, Zuhdi berkata, pemahaman terhadap aspek itu penting supaya usaha pencegahan dan rawatan dapat dilakukan lebih awal sebelum sesuatu perkara buruk berlaku.

Dalam masa sama, katanya, media elektronik dan industri hiburan juga dilihat mempunyai peranan besar dalam membentuk pemikiran serta identiti generasi muda.

“Kandungan media yang terlalu banyak memaparkan unsur kecelaruan gender atau identiti yang mengelirukan boleh memberi kesan terhadap perkembangan emosi dan pemikiran kanak-kanak.

“Perlunya lebih banyak usaha intervensi dan pendidikan yang mampu membantu masyarakat memahami pembentukan karakter manusia secara lebih mendalam dan seimbang,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN