Bapa, anak ditemukan mati berpelukan

ANGGOTA bomba mengeluarkan jenazah Amirul Fahmi Wan Jusoh dan Rehan Yusuf yang maut dalam kebakaran di Kampung Tok Jembal, Kuala Nerus, Terengganu, semalam.– UTUSAN/PUQTRA HAIRRY
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA NERUS: Beberapa penduduk merempuh pintu sebuah rumah yang terbakar dalam usaha menyelamatkan penghuninya namun gagal akibat api marak dalam kejadian di Kampung Tok Jembal di sini, semalam.

Kejadian kira-kira pukul 2 pagi itu meragut nyawa dua beranak akibat terperangkap iaitu Amirul Fahmi Wan Jusoh, 40, dan anaknya, Rehan Yusof , 9.

Seorang saksi, Wan Azrin Wan Awang, 46, berkata, dia bersama beberapa penduduk kampung bergegas ke rumah berkenaan selepas menyedari berlaku kebakaran dan cuba memanggil penghuni yang berada di dalam rumah.

Katanya, pintu rumah ber­kenaan diketuk beberapa kali namun tiada sahutan sebelum mereka mengambil keputusan memecahkannya.

“Kami panggil penghuni tetapi tidak dengar sahutan. Pintu kemudian dipecahkan dan seorang lelaki masuk sebelum membawa keluar ibu mangsa, Maimunah Muda, 67,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Wan Azrin berkata, selepas Maimunah diselamatkan, mereka dimaklumkan masih terdapat dua penghuni di tingkat atas rumah berkenaan.

Katanya, penduduk kemu­dian cuba memanggil kedua-dua mangsa namun tidak mendapat sebarang respons sebelum api semakin marak.

“Api dilihat dari bahagian atas dan kami tidak dapat masuk semula kerana keadaan semakin berbahaya,” katanya.

Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Terengganu, Mohd Shahrin Yusmar Mat Yusof berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian pada pukul 2.49 pagi.

“Pada awal kejadian, kami dimaklumkan terdapat tiga mang­sa berada di dalam rumah yang sedang terbakar. Seorang berjaya keluar manakala dua lagi dipercayai terperangkap.

“Kerja-kerja pemadaman dan pencarian mangsa dilakukan selama tiga jam sebelum kedua-dua mangsa ditemukan rentung di tingkat atas dalam keadaan berpelukan,” katanya.

Katanya, kerja-kerja pema­daman dan pencarian mangsa selesai sepenuhnya pada pukul 8.40 pagi sebelum lokasi dise­rahkan kepada polis.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN