BN jangan bersikap ‘abang besar’ jika mahu berunding

KHALID SAMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Rundingan kerjasama antara Barisan Na­sional (BN) dan Pakatan Ha­rapan (PH) bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka perlu dilakukan secara terbuka tanpa meletakkan sebarang syarat yang boleh dilihat berat sebelah.

Pengarah Komunikasi Ama­nah, Khalid Samad berkata, malah BN perlu mengetepikan sikap ‘abang besar’ dan lebih terbuka dalam rundingan kerjasama politik bagi menghadapi pilihan raya demi memastikan pembahagian kerusi serta strategi pilihan raya dapat diputuskan secara adil.

Katanya, keputusan BN un­tuk bertanding 21 daripada 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka merupakan syarat berat sebelah yang memberi kelebihan kepada gabungan tersebut sedangkan rundingan belum pun dilaksanakan.

“Kita dalam mengadakan rundingan tak boleh bersikap ‘abang besar’. Sepatutnya sebarang perbincangan tidak boleh dikenakan apa jua syarat apatah lagi ia hanya menyebelahi sebelah pihak.

“Sepatutnya, ruang run­di­ngan perlu terbuka dengan semangat perpaduan untuk memberi kestabilan politik khu­susnya kepada rakyat di Melaka,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Kelmarin, Pengerusi BN Melaka, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh menegaskan BN kekal bertanding di semua 21 kerusi DUN tanpa kompromi dalam PRN Melaka.

Beliau berkata, kesemua 21 kerusi DUN milik BN akan menjadi garis sempadan perbincangan di antara parti itu dengan mana-mana parti lain.

Khalid berkata, secara pe­ribadi beliau berpandangan pendirian BN itu berat sebelah kerana sekiranya gabungan berkenaan memenangi semua kerusi tersebut mereka mampu membentuk kerajaan sendiri tanpa memerlukan sokongan parti lain.

Katanya, jika BN kekal dengan pendirian itu, adalah lebih baik mereka berun­ding dengan Pas dan Perikatan Nasional (PN) berbanding PH dan Amanah yang mempunyai prin­sip dalam mengadakan ker­jasama politik.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN